Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa pemain muda yang berpengkalan di luar negara bagi memperkuatkan pasukan Malaysia bawah 22 tahun (B-22).

Skuad kendalian E. Elavarasan itu akan menghadapi dua lagi kejohanan penting iaitu Piala AFF B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23.

Justeru itu, dua pemain dari kelab eropah iaitu Nooa Laine (SJK Akatemia) dan Luqman Hakim (UMF Njardvik) bakal dipanggil menyertai skuad Malaysia B-22 bersama seorang lagi pemain iaitu Richard Chin yang kini sudah tiba di ibu negara.

“Kita harap persiapan B-23 pada September depan bagi kelayakan kita harap dapat Luqman Hakim dan Nooa Laine kerana ketika ini perlawanan berada dalam kalendar FIFA,” jelas Hamidin kepada pihak media ketika Majlis Hari Raya Aidilfitri FAM-MFL-AFL hari ini.

Hamidin juga menjelaskan Malaysia perlu layak ke Piala Asia B-23 tahun depan kerana ia menawarkan tiket ke sukan Olimpik di Paris 2024.

“Kejohanan ini akan berlangsung pada September dan ia kelayakan untuk pergi ke pusingan akhir Olimpik (kemungkinan) pada hujung tahun atau awal tahun depan,” katanya

Richard Chin yang berada di Malaysia ketika ini sedang dalam proses dokumentasi untuk memudahkannya menyarung jersi skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa.

Beliau juga berharap proses dokumentasi dapat diselesaikan secepat mungkin supaya berpeluang memperkuatkan Harimau Malaya di Piala Asia 2023 tahun depan.

“Satu penghargaaan dapat bermain untuk Malaysia tetapi saya perlu lengkapkan proses dokumentasi. Saya berharap dapat bermain di Piala Asia tetapi perlu selesaikan proses dokumentasi terlebih dahulu,” jelas Richard.

Selepas selesai urusan di Malaysia, beliau akan kembali ke England untuk menjalani latihan pra musim bersama kelabnya, Charlton Athletic.

“Saya bakal mengharungi latihan pra-musim dan jika dapat pamerkan prestasi terbaik di sana, ia akan mencerahkan peluang saya untuk dipanggil menyertai skuad negara,” katanya.