Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes ketika sesi soal jawab bersama media semalam mendedahkan bahawa pihaknya kini sedang mengkaji sekurang-kurangnya 6 jenis rumput sebelum membuat pilihan yang terbaik Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Ekskutif Kumpulan AirAsia itu juga turut menjelaskan kajian tersebut dilakukan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memiliki kepakaran serta dibantu oleh pelbagai pakar dari luar negara.

“Saya mahu semua pakar-pakar tersebut datang, bukan sahaja dari barat kerana mereka tidak faham cuaca kita, tetapi dari Thailand serta Singapura dan melakukan penilaian. ”

photo_2019-08-16_00-38-47
Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Eksperimen mengenai rumput mana yang paling sesuai untuk digunakan nanti akan mengambil masa kira-kira 1 tahun ataupun lebih panjang.

Namun, Tony Fernandes turut menegaskan beliau tidak kisah sekiranya masa yang diperlukan lebih panjang untuk kajian berbanding melakukannya dengan cepat tetapi hasil yang tidak memuaskan.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak PSM tidak mampu melakukannya sendiri dan mereka perlukan bantuan dari pakar luar negara.

Tan Sri Tony Fernandes juga dilihat berminat dengan idea menyediakan padang diluar stadium dan hanya dibawa masuk kira-kira 5 hari sebelum perlawanan.