Pemain bintang pasukan kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin terus mendapat perhatian apabila menampilkan aksi cemerlang ketika membantu Consadole Sapporo menewaskan Shimizu S-Pulse dengan keputusan 8-0 dalam perlawanan saingan J1 League pada hujung minggu lalu.

Chanathip menjaringkan dua gol dan juga menyumbangkan dua assist pada perlawanan yang berlangsung di Stadium IAI Nihondaira di Shimizu. Pemain berusia 25 tahun itu membuka tirai jaringan pada minit ke-10 dengan memanfaatkan kesilapan penjaga gol Shimizu, Yohei Nishibe yang gagal untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Chanathip Songkrasin
NONTHABURI, THAILAND – JANUARY 27: Chanathip Songkrasin #18 of Consadole Sapporo in action during the pre-season friendly match between True Bangkok United and Consadole Sapporo at the SCG Stadium on January 27, 2019 in Nonthaburi, Thailand. (Photo by Pakawich Damrongkiattisak/Getty Images)

Consadole melebarkan kelebihan menerusi jaringan Jay Bothroyd pada minit ke-24, Ryosuke Shindo pada minit ke-49 dan Musashi Suzuki pada minit ke-56 untuk menjadikan kedudukan 4-0. Chanathip menyumbangkan assist pertama apabila hantaran beliau disambut kemas Bothroyd pada minit ke-74 bagi menjaringkan gol kelima pasukan.

Lima minit kemudian, bekas pemain Muangthong United itu sekali lagi bergandingan dengan Bothroyd bagi menjaringkan gol keenam sebelum Akito Fukumori menjaringkan gol ketujuh Consadole. Apabila permainan memasuki minit ke-89, Chanathip menjaringkan gol kedua peribadi sekaligus memberikan kemenangan 8-0 untuk Consadole Sapporo.

Consadole Sapporo ketika ini menduduki tangga ke-6 dalam carta J1 League dengan kutipan 35 mata daripada 23 perlawanan, 13 mata dibelakang pendahulu iaitu FC Tokyo.