Minggu yang kurang baik jelas dirasai oleh pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos selepas beliau gagal membantu pasukannya untuk meraih kemenangan pada aksi ke-12 kempen LaLiga 2022/23.

Selepas tewas bertemu RB Leipzig pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tempoh hari, Real Madrid kemudiannya sekadar mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 di Santiago Bernabeu ketika bertemu pasukan tangga bawahan liga, Girona.

Lebih perit untuk ditelan oleh Kroos pada perlawanan tersebut apabila beliau diperintahkan keluar padang sekali gus menjadikan ia sebagai kad merah pertama diterima sepanjang karier profesionalnya.

Toni Kroos
Sumber Gambar: REUTERS/Susana Vera

Mendapat kad amaran pertama pada minit ke-55, kekasaran terhadap Aleix Garcia yang dilakukan ketika permainan memasuki masa kecederaan memaksa pengadil perlawanan, Mario Melero melayangkan kad kuning kedua untuk melihat Kroos melangkah keluar padang.

Tindakan pengurus pasukan, Carlo Ancelotti mengeluarkan Eduardo Camavinga pada minit ke-61 berbanding Kroos yang sudah mendapat kad kuning juga dipertikaikan oleh penyokong Real Madrid susulan situasi tersebut.

Bagaimanapun, dengan hanya satu kad merah selepas lebih 15 tahun [lebih 750 perlawanan] berkecimpung dalam kancah bola sepak berkelas dunia, ia satu indikasi jelas menunjukkan bahawa Kroos bukan sahaja cemerlang dalam mengawal jentera tengah, malah beliau cukup mahir dalam mengawal tingkah laku ketika beraksi.

Keadaan itu menyaksikan Toni Kroos tidak berjaya untuk menyamai pencapaian bekas rakan sepasukannya, Phillip Lahm yang langsung tidak pernah dilayangkan kad merah sepanjang kariernya dalam 757 penampilan bersama Bayern Munich, VfB Stuttgart dan skuad kebangsaan Jerman.