Penang FC semestinya mengharapkan tahun 2021 akan menjadi musim terbaik sepertimana yang telah dicapai pada tahun lalu apabila berjaya menjuarai saingan Liga Premier 2020 sekaligus layak ke Liga Super musim ini.

Sebagai pendatang baharu Liga Super 2021, Penang FC tidak terlepas mempersiapkan skuad terbaik dengan kemasukan pemain-pemain import dan tempatan berkualiti untuk memperkuatkan pasukan.

Perubahan awal yang dilakukan adalah dengan kemasukan ketua jurulatih baharu dari Republik Czech, Tomas Trucha bagi menggantikan Manzoor Azwira yang tidak mempunyai Lesen Pro A untuk terus membimbing Penang FC pada musim ini.

Jelasnya, mengendalikan pasukan baharu dengan tempoh masa yang terhad ketika ini menyaksikan cabaran sebenar yang dihadapi oleh semua jurulatih dan mereka perlu hadir dengan pelan terbaik agar semua pemain dapat bersedia sepenuhnya menjelang sepak mula pada 6 Mac depan.

Selepas mengharungi tiga aksi persahabatan, Trucha menjelaskan keutamaan sekarang adalah bukan mencari kelemahan di mana-mana bahagian dalam pasukan selepas perlawanan, tetapi apa yang penting adalah untuk memahami karakter anak buahnya di atas padang.

Dengan kehadiran pemain-pemain baharu antaranya pemain import, Ryuji Utomo (Persija Jakarta, Indonesia) dan Sheriddin Boboev (FC Istiklol, Tajikistan), pasukan semestinya mengharapkan gandingan yang mantap daripada mereka bersama-sama tiga lagi pemain import yang dikekalkan iaitu penjaring terbanyak Liga Premier 2020, Casagrande, Endrick dos Santos dan Rafael Vitor.

Manakala pemain tempatan pula tumpuan turut diberikan kepada pemain muda dari Kelantan, Danial Ashraf Abdullah yang akhirnya berhijrah selepas empat musim berbakti di negeri kelahiran sejak tahun 2016.

Thomas Trucha
Trucha bersama pembantunya, Manzoor Azwira dan Akmal Rizal ketika sesi latihan.

Dia yang pernah beraksi bersama Harimau Muda telah menjaringkan 3 gol dalam 10 penampilan bersama Kelantan pada musim lalu (termasuk 2 gol dalam TM Piala Malaysia sebelum saingan itu dibatalkan) dan dijangka mampu untuk memberi sentuhan berbeza dalam menggerakkan jentera tengah pasukan.

Namun, Trucha menegaskan setiap pemain yang ada memegang peranan yang cukup penting di setiap bahagian dan Danial menjadi sebahagian daripada itu untuk terus cuba mencuri perhatian merebut peluang berada dalam kesebelasan utama musim ini.

“Setiap pemain memang penting untuk saya dan tiada seorang pun yang senang mendapat peluang dalam kesebelasan utama tanpa membuktikan kemampuan mereka.

“Danial juga adalah sebahagian daripada pasukan dan baik dia atau pemain-pemain lain, mereka perlu rebut peluang sebaiknya untuk saya nilai siapakah antara mereka yang mampu galas tugas dalam skuad utama.

“Macam mana pun, mereka kena bersedia dengan tempoh masa yang kita ada ini dan fasa untuk mengenali antara satu sama lain ketika ini berjalan dengan baik untuk kita semua,” jelasnya.

Selain Danial, Penang FC turut mengumumkan beberapa pemain lain iaitu Quentin Cheng (Selangor 2), Azwan Aripin (Kelantan), Khairul Asyraf Ramli (Kelantan), Fadhil Idris (Felda United FC), C. Suwarna Raj (Perak II), D. Saarvindran (Terengganu FC), Shafiq Afifi Suhaimi (Perak II), penjaga gol, See Tian Keat (PDRM) selain Jafri Firdaus Chew dan David Rowley (Kedah).

Penang FC akan menerima kunjungan Kuala Lumpur United FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dalam aksi Liga Super pada 6 Mac depan.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

KL United: Bojan Tuntut Keinginan Tinggi Pemain Cipta Keputusan Positif

Pemilik Jiangsu FC Sanggup Jual Kelab Dengan Harga Satu Sen

Genius Sports Setuju Lantik Jurustatistik Bertauliah Rekod Segala Statistik Pasukan Dan Pemain Liga Malaysia 2021