Pemburuan bagi mengukuhkan tempat ketiga Liga Super bukan menjadi matlamat utama Penang yang sebaliknya mahu meneruskan rentak kemenangan apabila bertandang ke Stadium Darul Aman pada Selasa bagi berdepan Kedah Darul Aman.

Menghormati kekuatan tuan rumah yang pasti mahu bangkit selepas tewas 2-4 kepada Selangor pada Jumaat lalu, ketua jurulatihnya, Tomas Trucha berkata beliau hanya berikan tumpuan kepada persiapan sendiri tanpa memikirkan mengenai lawan.

Ditambah kehilangan tiga pemain utama iaitu Ryuji Utomo, Khairu Azrin Khazali dan Casagrande yang tidak dapat diturunkan, pengendali yang berasal dari Republik Czech itu tidak berselindung perancangan mereka banyak terjejas.

Tomas Trucha
Sumber Gambar: Penang

“Saya belum memikirkan dari segi itu bagi mendapatkan tempat ketiga jika kita menang dengan Kedah kerana banyak kali saya jelaskan kami hanya berikan tumpuan dari satu ke satu perlawanan.

“Buat masa ini saya rasakan pemain-pemain telah melakukan tugas dengan cemerlang walaupun perlawanan sebelum itu kami tewas 1-4 dengan Selangor namun mereka bangkit untuk menang 2-1 semasa berdepan Melaka.

“Secara keseluruhan sepanjang musim ini, saya rasa kami telah buktikan banyak perkara dan harap kami mampu meneruskan rentak cemerlang ini sehingga penghujung musim.

“Saya tidak nafikan pasukan serba sedikit terganggu tanpa tiga pemain utama kerana penggantungan perlawanan, tetapi saya optimis pemain yang gantikan tempat mereka masih boleh membantu kemenangan pasukan,”katanya.

Ketiadaan Utomo di bahagian pertahanan dijangka akan digalas Abdul Latiff Suhaimi manakala David Rowley atau Fadhil Idris berpeluang diturunkan dalam kesebelasan utama bagi mengisi posisi Khairu Azrin.

Tomas Trucha
Sumber Gambar: Penang

Sementara itu di posisi serangan, penjaring gol kemenangan Penang semasa berdepan Melaka, Sheriddin Boboev hampir pasti menjadi taruhan utama Trucha selain dibantu Endrick Dos Santos.

Penang FC yang kini berada di tangga ketiga berpeluang menjarakkan kedudukan dari Selangor dengan perbezaan lima mata jika mampu mengatasi Kedah selain merapati kedudukan Terengganu FC di tangga kedua melalui jurang tiga mata.

Selepas berdepan Kedah, Penang akan terbang ke Kota Kinabalu bagi pertemuan dengan Sabah pada Ahad di Stadium Likas.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

Park Hang-seo Ada 6 ‘Assistant’ Dari Korea Selatan Demi Persiapan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022

Dato’ Ab Ghani Dipilih Gantikan Datuk Haji Hamidin Sebagai Presiden Baharu MFL

Portal Sukan Turki Ini Kaitkan Perpindahan Radamel Falcao Ke JDT Sejak 10 Hari Yang Lalu