Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Mohd Ghazali, telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi tindakannya yang enggan melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya pada 14 Mac lepas.

Rizal sebelum ini diletakkan dalam Senarai Bersedia pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kali ini kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Bagaimanapun, beliau enggan melapor diri sekaligus memaksa Pan Gon memanggil seorang lagi pemain dari Senarai Bersedia iaitu pemain Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi.

“Susulan itu, surat amaran telah dikeluarkan oleh FAM kepada Mohd Rizal agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan dan Mohd Rizal sudah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.

“Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang,” tulis kenyataan rasmi daripada Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

FOTO: FAM

Menurut laporan daripada Berita Harian, bekas pemain Kedah itu tidak dapat menyertai kem latihan kali ini kerana mempunyai masalah keluarga.

Difahamkan pemain itu perlu menjaga bapanya yang terlantar sakit di hospital berdasarkan perkongsian melalui laman instagram sekaligus memberi bayangan antara faktor utama beliau terpaksa menolak pelawaan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

10 Hari Dalam Kem Latihan Pertama, Kim Pan Gon Akui Gembira Dengan Prestasi Pemain

Dion Cools: Ini Persembahan Terburuk Saya Bersama Skuad Kebangsaan

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya