Tugas sukar sedang menanti Sri Pahang apabila mereka bakal bertemu Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super pada hari sabtu ini tanpa khidmat tonggak import, Manuel Hidalgo.

Pemain dari Argentina itu telah digantung satu perlawanan kerana mengutip tiga kad kuning. Perkembangan itu disahkan oleh pengendali pasukan, Dollah Salleh dalam satu kenyataan di Berita Harian. 

Hidalgo merupakan nadi utama kepada pasukan untuk memberi kekuatan dalam meledak jaringan sepertimana yang dilakukan dalam aksi berdepan Melaka United FC dan Sabah FC tempoh hari.

“Ketika pasukan mahu meneruskan aksi terbaik dan bertenaga, saya tidak dapat menurunkan Hidalgo kerana digantung satu perlawanan.

“Setakat ini, saya belum membuat keputusan untuk menyenaraikan pemain yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hidalgo,” kata Dollah.

Bagaimanapun, skuad Tok Gajah masih memiliki beberapa pemain lain yang mampu menggantikan tempat Hidalgo di posisi sayap kanan iaitu Zuhair Aizat, Hafiz Ramdan, dan Baqiuddin Shamsudin.

Selain itu, pemain import Ghana, Yakubu Abu Bakar dijangka akan kembali beraksi untuk berganding dengan Azam Azih di posisi tengah. Yakubu sebelum ini terlepas perlawanan menentang Sabah kerana mengalami kecederaan buku lali sewaktu berdepan Melaka.

Sri Pahang kini berada di kedudukan ke 9 dengan 17 mata dan mereka masih belum selamat daripada zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan. Baki 6 perlawanan yang akan datang sangat penting untuk memastikan mereka kekal dalam Liga Super.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Safee Sali Disahkan Demam Denggi, Bojan Hodak Pertaruhkan Romel Morales Di Posisi Serangan

Dickson Nwakaeme Umum Persaraan Daripada Sukan Bola Sepak

Pasukan Kedah Dikuarantin Sehingga 14 Ogos