Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Selepas 10 perlawanan, Sri Pahang akhirnya lakar kemenangan besar dalam saingan Liga Super musim ini apabila berpesta gol menewaskan UiTM, 5-0 di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan melalui rembatan padu Lee Tuck dari luar kotak penalti seawal 49 saat. Ia adalah jaringan kedua terpantas Liga Super 2021 selepas gol Gonzalo Cabrera ketika menentang PJ City (39 saat).

Jaringan tersebut membakar semangat para pemain skuad tok gajah untuk terus mencari gol kedua dan memaksa benteng pertahanan pasukan pelawat bekerja keras menghalang beberapa percubaan berbahaya.

Pada minit ke 34, Sri Pahang berjaya menambah gol kedua melalui Pedro Henrique yang melepaskan rembatan lencongan yang cantik menewaskan penjaga gol UiTM, Azfar Arif. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Sri Pahang terus bermula dengan garang dan langsung tidak memberi peluang kepada UiTM untuk mendapatkan rentak permainan mereka.

Frank Bernhardt turut melakukan perubahan taktikal dengan menukar pemain pertahanan import, Victor Nirennold beraksi dengan di posisi serangan.

Bagaimanapun, percaturan itu tidak mampu menghalang Sri Pahang daripada terus mengganas menjaringkan gol ketiga melalui Baqiuddin yang menanduk masuk bola tepisan penjaga gol pelawat pada minit ke 66.

UiTM cuba bangkit mencari gol pertama namun jentera serangan mereka tidak mampu menembusi benteng pertahanan Sri Pahang yang dikawal oleh Herold Goulon dan Muslim Ahmad ditambah pula dengan ketiadaan 3 pemain import.

Pada minit ke 70, Herold Goulon menambah gol keempat melalui penalti. Sepakan penalti itu diberikan selepas Baqiuddin dikasari oleh pemain pertahanan UiTM.

Dua minit kemudian, pemain tengah pelawat, Fahmi Sabri melengkapkan gol kelima Sri Pahang apabila melakukan kesilapan tertanduk ke gawang sendiri.

Keputusan 5-0 itu menyaksikan, Tok Gajah kini mengumpulkan 8 mata selepas tamat pusingan pertama Liga Super dan berpeluang keluar daripada zon penyingkiran ke Liga Premier jika terus konsisten mengutip mata dalam baki 11 lagi perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Aksi Kedah Bertemu JDT Berlangsung Tanpa Penonton, TicketHotline ‘Refund’ Tiket Yang Terjual

Pemain Kacukan Malaysia-Australia Sah Sertai Kuala Lumpur City

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group