Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesa pemain skuad Tok Gajah bangkit daripada kegagalan mempertahankan Piala FA musim ini dengan menamatkan saingan Liga Super sebagai naib juara.

Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sudah pun bergelar juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut, tumpuan peminat bola sepak tempatan ketika ini lebih terarah kepada persaingan merebut kedudukan tempat kedua di antara Pahang, Kedah, Selangor dan Perak.

Selepas 17 perlawanan Pahang telah mengumpulkan 30 mata dan hanya dibezakan satu mata dengan Kedah (29 mata), dua mata dengan Selangor (28 mata) serta tiga mata dengan Perak (27 mata). Namun, skuad kendalian Dollah Salleh itu masih mempunyai baki satu perlawanan menentang FELDA United yang telah ditunda bulan lalu.

“Kedah, Selangor dan Pe­rak sedang mengekori rapat di belakang kita dengan perbezaan mata yang sedikit.

“Kita tidak boleh bermain sambil lewa jika mahu kekal di tempat kedua sehingga tamat musim ini setelah gagal menempah slot ke final Piala FA,” katanya kepada Kosmo!

66042981_2422181564509190_9146412931649372160_n
Sesi latihan skuad Pahang semalam. FOTO: Pahang FA

Minggu lepas, Pahang tewas kepada Perak 0-3 pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Ipoh sekaligus menghancurkan impian pasukan itu untuk menempah tiket ke perlawanan akhir. Bagaimanapun, Suffian mengakui terdapat beberapa kelemahan di bahagian pertahanan yang perlu diperbaiki sebelum menentang Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini.

“Situasi ini sudah pas­tinya kurang menyenangkan jurulatih, Dollah Salleh dan beliau sudah pasti mahu melihat semua pemain kembali bangkit dengan aksi yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Tok Gajah perlu menganggap semua perlawanan selepas ini penting untuk mengelakkan daripada keciciran mata.

“Johor Darul Takzim (JDT) sudah dinobatkan sebagai juara Liga Super jadi tempat kedua masih lagi terbuka kepada beberapa pasukan.

“Saya harap kita dapat menamatkan musim ini di belakang JDT sebagai ha­diah kepada penyokong setia Tok Gajah,” jelasnya.

Sumber