Kegagalan Melaka United mengutip tiga mata penuh ketika menentang PKNS FC semalam telah membuka peluang terbaik kepada Pahang untuk dinobatkan sebagai naib juara Liga Super 2019 apabila dijadualkan menentang FELDA United di Stadium Darul Makmur malam ini.

Skuad kendalian Dollah Salleh yang kini mengumpulkan 37 mata hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk mengesahkan kedudukan tempat kedua dengan lebih awal selepas dibezakan tiga mata dengan pencabar terdekat iaitu Kedah dan Selangor.

Justeru itu, pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesa penyerang import pasukan itu, Lazarus Kaimbi mempamerkan aksi yang lebih mantap untuk membantu pasukan mencari jaringan awal.

Katanya, ketiadaan Dickson Nwakaeme yang tersisih disebabkan kecederaan menyebabkan jentera serangan Pahang dilihat agak tumpul selepas tiga perlawanan Liga Super.

“Bukan saja berdepan FELDA United, malah aksi terakhir bertemu Melaka United Sabtu ini juga perlu digunakan Kaimbi untuk tampil lebih cemerlang menjelang saingan Piala Malaysia bulan depan,

“Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana kami hanya memerlukan tiga mata untuk mengesahkan kedudukan di tempat kedua liga.

“Selain itu, sokongan padu peminat Tok Gajah juga dialu-alukan untuk memastikan kemenangan dan bersama meraikan kejayaan,” katanya dalam Arena Metro

64859725_2445793928814620_5364372289657765888_n
Dickson Nwakaeme Sudah Mula menjalani latihan. FOTO: Pahang FA

Mengulas mengenai perlawanan malam ini, Pahang dijangka mengekalkan barisan pemain yang sama ketika menentang Terengganu FC, Sabtu lalu. Ini kerana penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme masih belum cergas selepas baru pulih daripada kecederaan, manakala Safuwan pula digantung perlawanan.

Bagaimanapun, situasi itu tidak sedikit merisaukan pasukan tersebut kerana mereka masih mempunyai ramai pemain simpanan yang boleh diharapkan.

“Kita dapat lihat apabila Kecik (Wan Zaharulnizam) mengambil alih peranan Safuwan Baharudin, dia dapat membantu jentera serangan, terutamanya ketika berdepan TFC Sabtu lalu.

“Begitu juga Nor Azam serta Saddil dan Zuhair Aizat juga mampu memberi ancaman kepada TFC dan tidak terkecuali berdepan FELDA United, sumbangan mereka amat diharapkan,” jelas Suffian.

Sumber