Perlawanan kelapan saingan Ligue 1 2022/23 bertemu Angers SCO menjadi salah satu episod malang buat karier bola sepak Jean-Clair Todibo dan sudah pastinya beliau mahu segera melupakan perlawanan di Allianz Riviera itu.

Hal ini kerana pemain pertahanan tengah OGC Nice kelahiran Cayenne, French Guiana tersebut hanya sempat beraksi selama sembilan saat susulan kad merah yang terlalu drastik diterimanya.

Tanpa sebarang amaran atau kad kuning, Todibo terus diperintahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan, Bastien Dechepy susulan kekasaran dilakukannya terhadap Abdallah Sima ketika penyerang tersebut sedang menuju ke dalam kawasan penalti.

Meskipun menerima bantahan ekoran keputusan tersebut, Dechepy masih kekal dengan keputusannya sekali gus Todibo terpaksa melangkah keluar meninggalkan padang dengan wajah yang cukup tenang.

Insiden tersebut menjadikan Todibo menjadi antara pemain yang menerima kad merah dengan begitu pantas dalam sejarah bola sepak dunia.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 1-0 memihak Angers hasil jaringan tunggal Nabil Bentaleb pada minit ke-43. Memasuki babak kedua, Angers turut bermain dengan 10 pemain apabila Sofiane Boufal dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning.

https://twitter.com/ErajChangizian/status/1571522857942896640?ref_src=twsrc%5Etfw%7Ctwcamp%5Etweetembed%7Ctwterm%5E1571522857942896640%7Ctwgr%5Ee9433b674480997d33d64fcbcaef711f7cce89b7%7Ctwcon%5Es1_&ref_url=https%3A%2F%2Fwww.marca.com%2Fen%2Ffootball%2Fligue-1%2F2022%2F09%2F18%2F6327460622601d90098b456a.html

Ini merupakan kad merah kedua buat Jean-Clair Todibo pada musim ini apabila beliau dibuang padang pada aksi ketiga bertemu Clermont Foot ekoran dua kad kuning diterimanya.

Todibo pernah dilabel sebagai salah seorang ‘wonderkid’ ketika menyarung jersi Barcelona bermula 2018/19 tetapi ia tidak berjalan seperti dirancang yang menyaksikan beliau lebih banyak dipinjamkan termasuklah dihantar ke Nice.

Selepas cemerlang ketika tempoh pinjaman, Nice mendapatkan Todibo secara tetap pada 27 Jun 2021 dengan yuran perpindahan bernilai €8.5 juta.

Pada musim lalu, beliau menjadi sandaran utama buat pasukannya dan hanya tidak beraksi pada dua aksi liga iaitu ketika bertemu Clermont Foot dan RC Strasbourg.