Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur presiden Melaka United agar segera menyelesaikan isu tunggakan gaji yang sedang dialami pasukan.

Baru-baru ini, Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) menyatakan solidariti mereka kepada pemain skuad utama dan Piala Presiden Melaka United sambil memaklumkan telahpun menghantar notis tuntutan agar tunggakan selama tiga bulan diselesaikan sebelum 19 Januari ini.

Bekas pemain pertahanan Melaka United, Khairul Helmi Johari yang kini menyertai pasukan TRW Kelantan turut mendedahkan beliau masih menunggu tunggakan gajinya selama 4 bulan yang masih belum dijelaskan oleh kelab tersebut.

“Sampai sekarang saya masih berusaha untuk dapatkan (baki gaji), pemain masih tunggu. Tidak tahu sampai bila dan harap Melaka dapat selesaikan segera sebab ini sudah memasuki musim baru.

“Ada pemain yang kekal dan ada yang sudah bawa haluan masing-masing. Saya tidak tahu tarikh sebenar yang mereka janjikan, saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Tunku Ismail yang juga merupakan Penaung PFAM berkongsi satu perbualan Whatsapp dengan Presiden Melaka United, Datuk Sulaiman Mohd Ali dimana beliau mahu masalah tunggakan gaji agar diselesaikan dengan segera.

Dalam perbualan tersebut, TMJ berkata isu tunggakan gaji tersebut tidak bagus untuk imej serta integriti pasukan Melaka selain juga kebajikan para pemain yang perlu dijaga.

TMJ

Sumber Gambar: La Bola Malaya

Ini bukan kali pertama Melaka United terpalit dengan masalah tunggakan gaji dimana pada musim sebelumnya mereka juga menghadapi masalah yang sama.

Malah, selama dua musim berturut-turut iaitu pada 2020 dan 2021, Melaka dijatuhkan hukuman pemotongan tiga mata oleh pemgelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) kerana isu tersebut.

Berdasarkan peraturan pertandingan Liga Malaysia yang telah ditetapkan, jika pasukan masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji, terdapat beberapa hukuman asas yang boleh dikenakan terhadap pasukan tersebut selain pemotongan mata.

Antara hukuman yang boleh dikenakan adalah MFL boleh menyekat pendaftaran pemain baharu sama ada tempatan dan import untuk satu tempoh tertentu selain lesen pasukan juga boleh ditarik balik.

Perkara ini boleh menyebabkan pasukan berdepan halangan untuk beraksi dalam saingan liga atau diturunkan pangkat ke liga yang lebih rendah.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Billy Ketkeophomphone Bakal Isi Kuota Pemain Import ASEAN Sri Pahang?

Liga Belum Pun Bermula, Melaka United Kini Berdepan Masalah Tunggakan Gaji

Sabah Tolak Tawaran Kelab Serbia Untuk Dapatkan Khidmat Saddil Ramdani

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group