Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengucapkan tahniah kepada Kuala Lumpur City setelah berjaya muncul juara saingan Piala AFC Zon Asean selepas menewaskan kelab Indonesia, PSM Makassar semalam.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Tunku Ismail berkata dengan bajet tahunan yang rendah, KL City mampu untuk muncul juara dan perkara ini nyata satu pencapaian yang cukup baik oleh kelab ibu kota itu.

TMJ
Sumber Gambar: Instagram TMJ

“Bajet 10 Juta setahun sahaja. Juara Piala Malaysia, juara zon Asia Tenggara saingan Piala AFC. Tahniah Kuala Lumpur City. Tahniah kepada Stanley Bernard, Bojan Hodak dan semua pemain,” kata TMJ.

KL City mencipta kemenangan besar ke atas PSM Makassar dengan keputusan 5-2 dimana mereka membuka tirai jaringan menerusi rembatan Ramel Morales pada minit ke-32 melalui situasi kelam kabut dalam kotak penalti hasil hantaran tandukan belakang Zhafri Yahya.

Satu minit sebelum tamat separuh masa pertama, penyerang import pinjaman dari Terengganu, Jordan Mintah mencetak nama sebagai penjaring apabila menyudahkan hantaran cantik Ramel Morales dari sebelah kanan untuk gol kedua KL City.

5 minit kemudian, KL City dihadiahkan penalti selepas Zhafri Yahya dikasari oleh pemain pertahanan PSM Makassar. Kapten pasukan, Paulo Josue dengan tenang menyudahkan sepakan penalti sekaligus memastikan KL City selesa di depan dengan jaringan 3-0.

Meskipun PSM Makassar berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua, namun segalanya berubah apabila ketua pasukan, Paulo Josue menambah gol ke 4 selepas memanfaatkan bola muntah penjaga gol PSM Makassar, Reza Pratama yang gagal menangkap kemas rembatan Jordan Mintah. Hadin Azman kemudiannya menjaringkan gol kelima sekaligus mengesahkan kemenangan KL City.

Kemenangan itu juga bermakna KL City telah membawa pulang 100,000 usd (RM448,550.00) selaku juara Zon ASEAN dan mara ke peringkat separuh akhir Antara Zon (Inter-zone).

Pasukan yang dinobatkan sebagai juara Zon ASEAN dijadualkan bertemu kelab dari India, ATK Mohun Bagan di peringkat separuh akhir Antara Zon namun ia bergantung kepada keputusan penggantungan FIFA terhadap India.

Jika penggantungan itu kekal sehingga 7 September ke atas, KL City layak ke perlawanan akhir Antara Zon bertemu kelab dari Uzbekistan atau Hong Kong pada 5 Oktober 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Piala AFC 2022: KL City Juara Zon ASEAN, Bawa Pulang 100,000 USD

Pemain Sarawak United Sudah 4 Bulan Tidak Terima Gaji