TMJ melalui kemaskini terbaru di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers telah memuat naik satu status yang membayangkan bahawa Safiq Rahim tidak akan bersama mereka lagi dalam skuad JDT musim 2019.

Kapten Pasukan JDT Paling Berjaya

“Dari pandangan ikhlas saya, beliau merupakan pemain yang paling berjaya sekali dalam Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan telah banyak membantu JDT untuk mencapai matlamat-matlamat kami. ”

“Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola sepak terbaik yang bukan sahaja telah memberi sumbangan kepada JDT tetapi juga kepada kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan.”

Pintu Di Johor Sentiasa Terbuka Buat Safiq Rahim

“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak akan tahu sama ada Safiq akan kembali semula atau tidak suatu hari nanti. Saya pun tidak tahu. “

“Pintu di Johor sentiasa terbuka untuk beliau dan walau apa pun, setinggi-tinggi ucapan terima kasih dari saya, JDT dan semua penyokong serta Keluarga JDT. Macam mana sekalipun, anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari Keluarga JDT.”

Terlepas Aksi AFC Champions League Bersama JDT

Dengan pengumuman itu juga, Safiq Rahim akan terlepas peluang untuk beraksi di pentas tertinggi bola sepak kelab Asia, AFC Champions League 2019 bersama JDT yang sudah mengesahkan tempat dalam kejohanan itu.

Beliau yang sebelum ini pernah menjulang kejuaraan AFC Cup pada edisi 2015 bersama JDT hanya pernah beraksi dipusingan kelayakan play-off  dan play-off sahaja.

Mungkin jika dapat beraksi diperingkat tertinggi ini akan melengkapkan sejarah gemilang dalam karier bola sepak profesionalnya dimana beliau sudah memiliki semua medal kejuaraan peringkat domestik.

Kemana Destinasi Safiq Rahim Musim 2019

Dari kenyataan diatas, jelas membayangkan Safiq Rahim akan membawa haluan bersama pasukan baru musim 2019 nanti dan masih tiada kepastian beliau akan bersama pasukan mana setakat ini.

Namun begitu, wujud ‘rumours’ menyatakan bahawa Safiq Rahim dikaitkan dengan beberapa pasukan dari kawasan Lembah Kelang diantaranya Selangor, PKNS dan juga Kuala Lumpur.

Dalam ruangan komen di laman sosial Facebook juga, admin Johor Southern Tigers ada menyatakan juga kemungkinan beliau akan beraksi bersama kelab di luar negara.

Nota: Sumber menyatakan bahawa PKNS tidak pernah membuat sebarang perbincangan untuk mengambil Safiq Rahim untuk musim 2019.