Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal naik taraf semua padang latihan termasuk padang di Stadium Sultan Ibrahim sebelum bermula musim 2024.

Menurut kenyataan rasmi, langkah itu terpaksa dibuat kerana pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) tidak berpuas hati dengan kualiti padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu.

“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menitahkan semua padang bola sepak Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dinaik taraf kerana Baginda tidak berpuas hati dengan kualiti padang ketika ini.

“Kerja-kerja menaik taraf dan kemungkinan penanaman semula rumput akan dijalankan pada penghujung musim dan akan dimulakan dengan Pusat Latihan JDT dan Stadium Sultan Ibrahim untuk persediaan menghadapi musim 2024,” kata kenyataan rasmi.

Seperti yang diketahui umum, TMJ amat mementingkan kualiti padang bola sepak di negara ini kerana ia akan membantu setiap pemain beraksi dengan lebih baik.

Sebelum ini, TMJ mengakui kecewa apabila mendapati sesetengah kelab tidak mahu mengeluarkan wang membiayai kos penyelenggaraan padang demi kemajuan bola sepak negara.

“Bagi pandangan saya, kos penyelenggaran bukan satu alasan kerana bajet paling kurang dalam Liga Super pada hari ini adalah RM8 juta untuk satu pasukan. Penyelenggaran padang tidak mencecah lebih RM300,000 setahun, jadi di mana logik tiada pasukan yang boleh selenggara padang.

“Ada kelab yang dapat RM20 juta lebih daripada kerajaan negeri termasuk ada juga kelab yang dapat lebih RM30 juta. Kos penyelenggaran padang paling tinggi pun RM280,000 saja. Takkan tak boleh selenggara? Tak masuk akal bagi saya,” jelasnya dalam sidang media ketika Majlis Perasmian Penggantian Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu.

Rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekaligus menyebabkan bola melantun setiap kali melakukan hantaran.

Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua EXCO belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang yang terpilih.

Setiap negeri perlu memilih satu stadium bagi projek menaik taraf padang itu. Kos penanaman rumput ditanggung oleh KBS manakala kerja penyediaan tapak serta kos penyelenggaraan ditanggung oleh kerajaan negeri.