DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) hari ini terima mengadap Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kim Pan Gon, Ketua Jurulatih Harimau Malaya di Ibu Pejabat JDT.

Kehadiran mereka mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan yang berpendapat pertemuan itu mungkin adalah untuk membincangkan tentang penggunaan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya bulan depan.

Kelmarin, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Hj Rahman mengesahkan gelanggang keramat JDT itu antara lokasi pilihan sebagai venue perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya.

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan ditutup untuk kerja-kerja penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput lembu (cow grass) bermula pada bulan Mac ini.

SSI yang berkapasiti 40,000 dilihat sebagai lokasi paling sesuai untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa kerana mempunyai kemudahan berkelas dunia selain memiliki padang yang berkualiti.

Rumput jenis ‘cowgrass’ tidak lagi sesuai digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak.

Selain itu, Dato Hamidin turut tidak menolak kemungkinan TMJ dilantik sebagai pengurus baharu skuad Harimau Malaya.

Perkara itu didedahkan oleh wartawan astro arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman twitternya ketika ditemu bual selepas selesai Majlis Kesyukuran Presiden FAM atas pemilihan sebagai Ahli Majlis FIFA 2023-2027 beberapa hari lepas.

“TMJ pengurus skuad Harimau Malaya? kenapa tidak,” kata Hamidin.

Sumbangan TMJ kepada pasukan Harimau Malaya jelas cukup besar apabila baru-baru ini telah memperuntukkan peralatan kecergasan untuk meningkatkan kualiti skuad kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Piala Asia pada awal 2024.

Malah, TMJ juga sempat turun ke padang latihan di Wisma FAM pada 6 januari lepas untuk memberikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum skuad Harimau Malaya menghadapi perlawanan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric menentang Thailand.