Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menyifatkan kos bangunkan semula Stadium Shah Alam terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kos pembinaan Stadium Sultan Ibrahim.

Pada pertengahan Julai 2022 lepas, media tempatan melaporkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam menelan kos sebanyak RM787 juta. Kos itu termasuk kos membina kemudahan-kemudahan lain di sekitar Stadium Shah Alam seperti pusat komersial, masjid, taman permainan dan trek jogging untuk kegunaan orang awam.

Bagaimanapun, TMJ berpendapat anggaran kos sebanyak RM700 juta lebih tidak logik kerana stadium tersebut dilengkapi dengan pelbagai teknologi tinggi.

“Stadium Sultan Ibrahim 400 juta lebih sahaja. Stadium ini (Stadium Shah Alam) sekurang-kurangnya RM2 billion kerana mempunyai teknologi yang tinggi. 700 juta lebih tidak logik,” tulis TMJ menerusi satu hantaran di laman instagram.

Apa yang diperkatakan oleh TMJ ada benarnya kerana Stadium Shah Alam yang baharu dilengkapi teknologi tinggi seperti kawalan kelembapan dalaman, ‘ETFE ceramic coating’ dan sistem penyejukan tempat duduk.

Stadium tersebut juga turut mempunyai ciri ciri canggih seperti ‘retractable pitch’ ataupun padang mudah alih dan juga mampu mengendalikan pelbagai acara sukan ‘indoor’ seperti badminton, sepak takraw, bola tampar serta acara hiburan.

Secara asasnya stadium baharu itu berkapasiti sekitar 35,000 – 40,000. Turut menyediakan curva khas buat kumpulan penyokong setia Selangor, UltraSel. Ia juga memberi kemudahan kepada aktiviti sukan dan rekreasi berasaskan komuniti, kelestarian dan keusahawanan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini mengesahkan mengumumkan kos sebanyak RM787 juta juga termasuk kos meninggikan platform stadium sebanyak 1.5 meter bagi mengelak kejadian banjir berulang dan menukar sistem pendawaian elektrik.

Malah, Kompleks Sukan Shah Alam itu didirikan di atas tapak seluas 80 hektar lebih besar daripada Singapore Sports Hub yang berkeluasan 35 hektar sahaja (kos sebanyak RM4.3 bilion) sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai anggaran kos sebenar dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.