Semalam, pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengumumkan akan menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput lembu (cow grass) di padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini adalah berita gembira bagi peminat bola sepak tempatan apatah lagi Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023 dimana Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi venue rasmi semua perlawanan itu.

Pertukaran rumput baharu ini diharapkan dapat membantu skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon mempamer corak permainan yang lebih baik menentang Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh sekaligus menempah tiket automatik ke Piala Asia 2023 di China.

Tanpa menunggu lama, TMJ terus meluluskan satu cek untuk membayar kos pemasangan padang baharu itu sebagai bukti baginda bukan sekadar cakap kosong tetapi serius mahu melihat stadium di Malaysia mempunyai padang yang terbaik.

“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menandatangani cek untuk padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Pemeriksaan di Stadium Nasional akan dilakukan pada 19 Mac 2022 sebelum meneruskan persiapan terakhir dengan Perbadanan Stadium Malaysia. Syarikat padang dan krew penyelenggaraan padang Stadium Sultan Ibrahim sudah bersedia untuk memulakan kerja,” kata kenyataan rasmi.

Rumput jenis ‘cowgrass’ ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak. Ia juga menjadi masalah bila ‘sliding tackle’ dilakukan kerana rumput akan tercabut.

Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi antara 4 buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.

Baca juga artikel lain mengenai penanaman rumput di padang Stadium bola sepak di Malaysia melalui pautan dibawah. 

Tony Fernandes Dedahkan Sedang Kaji 6 Jenis Rumput Untuk Padang Stadium Nasional Bukit Jalil

Rumput Baru Jenis ‘Bermuda’ Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Di Gong Badak Kelihatan Cukup Mantap

Stadium Sultan Ibrahim Antara 3 Buah Stadium Dirantau Asia Tenggara Guna Rumput Zeon Zoysia