TMJ dalam satu kenyataan mengenai kelemahan pengadil perlawanan Final Piala Malaysia 2018 mendedahkan bahawa satu cadangan dari MFL untuk membawa masuk pengadil luar bagi perlawanan penting telah tidak dipersetujui oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh.

Baginda turut menyebut alasan yang diberikan oleh Subkhiddin untuk tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana akan menjadikan pengadil-pengadil tempatan kelihatan seperti tidak penting.

TMJ menjelaskan lebih lanjut bahawa ianya bukan untuk menidakkan kepentingan pengadil tempatan, sebaliknya memberitahu kita sangat memerlukan pertolongan daripada pengadil-pengadil seperti mereka ini untuk belajar.

Selain itu, baginda juga ada menyebut bahawa perlawanan dalam Liga Thailand juga telah menggunakan pendekatan yang serupa – membawa pengadil luar untuk mengendalikan perlawanan yang penting dan kita juga boleh mengambil inisiatif yang sama.

TMJ yang cukup lantang memperkatakan mengenai perkara berkaitan pengadil sejak tahun 2013 lagi dan pernah menyatakan kesanggupan untuk membayar sendiri pengadil profesional seperti yang disiarkan Utusan Online pada 31 Ogos 2013.

Penggunaan Sistem Video Assistance Referee (VAR) 2019

Mengulas mengenai permintaan untuk menggunakan VAR pada tahun 2019, TMJ menerangkan bahawa penggunaan VAR menelan kos yang cukup tinggi untuk dilaksanakan.

Baginda mendedahkan bahawa RM2.4 juta diperlukan sebagai kos untuk menggunakan VAR dan disebabkan belanjawan pada tahun hadapan akan dipotong oleh penaja, TMJ merasakan MFL tidak berada dalam posisi yang baik untuk membelanjakan kos sebesar itu.

Sebaliknya, TMJ lebih melihat idea gabungan pengadil luar dan tempatan sebagai satu solusi yang perlu dilaksanakan seberapa segera disamping mewujudkan badan pengadil profesional bukan dibawah FAM.