Wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini menyebabkan perjalanan Liga Malaysia terjejas sehingga memberi kesan kepada kantung kewangan pasukan ditambah pula dengan ketiadaan pendapatan dari segi kutipan tiket.

Malah, pengurusan pasukan sedang mempertimbangkan untuk memotong gaji pemain berikutan kesukaran syarikat penaja untuk terus memberi penajaan kerana ekonomi yang merudum.

Bagaimanapun, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengesa setiap pasukan Liga Malaysia segera menyelesaikan hutang tertunggak kepada para pemain dan pegawai sebelum melaksanakan pemotongan gaji.

Melalui kenyataan TMJ di laman facebook rasmi Johor Southern Tigers, antara pasukan yang dimaksudkan baginda ialah Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang.

“Kebanyakan pemain di dalam negara bersedia untuk memberi kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Tetapi sebelum pasukan memotong gaji tersebut, pastikan bahawa kelab atau pasukan yang berhutang dengan pemain menyelesaikan hutang tersebut dengan pemain terlebih dahulu.

“Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji. Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini meminta semua pihak bertolak ansur demi menjaga kestabilan kewangan kelab.

Bagaimanapun, Persatuan Pemain Bola Sepak Professional Malaysia (PFAM) memberi pandangan yang berbeza iaitu kontrak yang ditandatangani perlu dihormati dan dipatuhi sepertimana yang dipersetujui bersama.

Namun, TMJ berpendapat setiap pemain sedia memberi kelonggaran dan bekerjasama dengan pasukan masing-masing jika isu hutang tertunggak berjaya diselesaikan.

“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama, malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka.

“Kebanyakan pasukan bergantung 100% peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin pasukan-pasukan ini masih tidak membayar gaji. Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri,” jelas TMJ.

Baca artikel lain mengenai isu pemotongan gaji pemain bola sepak seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Ini Pendirian PFAM Berhubunga Isu Gaji Dan Kontrak Pemain Liga Malaysia

“Daripada Satu Sudut, Pemain Mungkin Bimbang Kelab Mencari Alasan Untuk Tidak Membayar Gaji Penuh”

Tiada Perlawanan Menyebabkan KAFA ‘Hilang’ RM100,000 Setiap Perlawanan, Pemain Mungkin Dipotong gaji