Stadium Sultan Ibrahim (SSI) mungkin jadi gelanggang sementara skuad Harimau Malaya ketika Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ditutup untuk kerja-kerja penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput lembu (cow grass).

Mengikut perancangan, proses penukaran rumput di SNBJ akan bermula pada bulan Mac 2023 dan venue berkenaan tidak dapat digunakan untuk perlawanan bola sepak antarabangsa.

Bagaimanapun, pemilik kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam satu kenyataan di laman twitternya menawarkan SSI sebagai gelanggang sementara untuk kegunaan skuad Harimau Malaya.

“Setelah berbincang dengan Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkenaan penyelenggaraan padang SNBJ yang akan bermula Mac ini, saya telah berjumpa dengan Presiden FAM untuk berkongsi ‘update’ dan menawarkan Stadium Sultan Ibrahim untuk digunakan Harimau Malaya sementara menunggu padang SNBJ siap,” tulis TMJ.

SSI yang berkapasiti 40,000 dilihat sebagai lokasi sesuai untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa kerana mempunyai kemudahan berkelas dunia selain memiliki padang yang berkualiti.

Malah, kos penanaman rumput baharu di SNBJ turut ditaja sepenuhnya oleh TMJ ketika diumumkan dalam lawatan rasmi ke venue berkenaan pada bulan Mac 2022.

Rumput jenis ‘cowgrass’ ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak. Ia juga menjadi masalah bila ‘sliding tackle’ dilakukan kerana rumput akan tercabut.

Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi antara 4 buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT sendiri, Stadium Sultan Ibrahim.