Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan bahawa beliau bersedia untuk melepaskan pemain sayap pasukan, Arif Aiman sekiranya ada peluang untuk beraksi di luar negara.

TMJ berkata pasukan yang bakal disertai oleh Arif perlu mempunyai sistem terbaik bagi memastikan Arif dapat meningkatkan kualiti yang dimiliki.

Arif Aiman
Sumber Gambar: JST

“Mana-mana liga pun ok asalkan ada jurulatih dan sistem yang boleh meningkatkan kualiti dia. Tidak semestinya beraksi di luar negara dianggap bagus. Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim apa cerita?

“Bila main dengan pasukan kebangsaan, adakah mereka beraksi dengan baik? Jadi bukan persoalan liga mana dia main. Yang penting sistem,” katanya dalam satu komen di media sosial Instagram miliknya.

Arif Aiman merupakan salah seorang pemain muda yang menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia sejak beberapa musim kebelakangan ini dan beliau berjaya memenangi anugerah individu.

Arif melengkapkan musim gemilangnya pada tahun lalu apabila dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) selain membantu JDT memenangi gelaran Liga Super serta layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Arif Aiman
Arif Aiman

Dia melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukannya, Safawi Rasid melakukannya pada musim 2018 ketika berusia 21 tahun.

Selain itu, Arif juga berjaya memenangi Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik Liga Malaysia musim 2021 dalam anugerah sama.

Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh Arif juga berjaya menarik perhatian ketua jurulatih skuad Harimau Malaya tahun lalu, Tan Cheng Hoe untuk memanggilnya bagi beraksi bersama pasukan negara.

Baru-baru ini, Arif membantu JDT memenangi Piala Sumbangsih dimana skuad Harimau Selatan menewaskan Kuala Lumpur City dengan keputusan 3-0 sekaligus membalas dendam di atas kekalahan pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

Musim ini, Arif dilihat bakal terus menjadi pilihan pengurus pasukan, Benjamin Mora untuk membarisi kesebelasan utama dalam usaha JDT memenangi gelaran ke-9 Liga Super.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Ini Jiwa Kita! – Kedah Perkenalkan Jersi Rasmi Musim 2022

Daniel Ting Bakal Sertai Selangor?

Forestieri Tidak Dapat Menahan Sebak Selepas Menang Piala Pertama Bersama JDT