Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mempersoalkan tindakan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memanggil Guilherme De Paula bagi menyertai pasukan negara.

Dalam satu sesi bersama peminat, Tunku Ismail menegaskan Pan-gon sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam memilih pemain bagi mewakili pasukan negara.

Guilherme De Paula
Sumber Gambar: FAM

“Saya pun tidak faham mengapa jurulatih ambil Guilherme De Paula dan apa sebab beliau terpilih. Saya dekat sini pun tidak menggunakan dia.

“Bagi saya, dia (jurulatih) perlu ada sikap lebih tanggungjawab dan bukan setakat ambil sesiapa sahaja daripada kelab ini.

“Saya rasa itu silap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadikan De Paula dan Liridon Krasniqi sebagai projek jangka masa pendek. Itu adalah satu kesilapan daripada pihak mereka,” kata TMJ.

Ketika aksi kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, De Paula mendapat kritikan pedas daripada peminat dimana beliau dianggap tidak memberi sebarang impak terhadap pasukan negara.

Mujur dua lagi penyerang iaitu Darren Lok dan Syafiq Ahmad berjaya tampil cemerlang sekaligus menutupi kelemahan di bahagian serangan.

Tambah TMJ, sebab utama mengapa JDT mengambil De Paula dan Liridon adalah untuk mengelakkan daripada kelab lain mengambil peluang tersebut.

“Saya rekrut mereka kerana takut ada kelab lain punyai ekstra pemain import, kemudian saya suruh dia duduk diam-diam,” tambahnya.

Pada perkembangan sama, TMJ turut mengumumkan kelabnya bakal menandatangani pemain pertahanan negara, Dion Cools bermula saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut TMJ, Baginda menyatakan bahawa Dion mempunyai keinginan yang tinggi untuk menyarung jersi JDT namun pihaknya tidak dapat membawa masuk Dion dalam masa terdekat.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Dion Cools Bakal Sertai Johor Darul Ta’zim Musim Hadapan

Bergson Tidak Berminat Fikir Tentang Pemain Pasukan Lain

Daniel Ting Kembali Ke Pangkuan Johor Darul Ta’zim