Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) tetap bangga dengan persembahan anak buahnya sekalipun tersingkir selepas tewas 0-5 kepada Urawa Red Diamonds pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) semalam.

TMJ menyifatkan ia merupakan satu penghormatan besar dapat beraksi di pentas tertinggi  Asia dan kekalahan tersebut memberikan pengajaran yang berguna kepada para pemainnya.

“Satu penghormatan yang besar beraksi di peringkat tertinggi dan berprestij seperti ini. Di peringkat ini, anda tidak boleh melakukan sebarang kesalahan.

“Apapun, ini satu perjalanan yang hebat dan memberi pengajaran yang baik buat pemain dan pasukan. Terima kasih Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” tulis TMJ menerusi akaun Twitternya.

Dalam perlawanan itu, Harimau Selatan beraksi tanpa kelibat tonggak import tengah, Leandro Velazquez yang digantung perlawanan. Nazmi Faiz Mansor mengisi kekosongan tersebut sambil beliau dibantu oleh Natxo Insa. Lebih menarik, pemain naturalisasi Indonesia, Jordi Amat turut membuat penampilan sulung beraksi di posisi tengah bertahan.

Namun, Urawa Red yang merupakan juara bagi edisi 2007 dan 2017 tampil dengan cukup bertenaga dihadapan penyokong sendiri mereka untuk melakar kemenangan.

JDT turut mendapat beberapa peluang terbaik menerusi percubaan jarak jauh daripada Fernando Forestieri, Bergson da Silva dan Safawi Rasid tetapi wakil dari Jepun itu kental bertahan untuk menghalang gawang mereka daripada dibolosi.

Perjalanan JDT sehingga ke peringkat 16 kejohanan paling berprestij di Asia ini wajar dipuji. Malah, mereka juga adalah penyumbang terbesar kepada kedudukan ranking MA sehingga berjaya memastikan Malaysia dapat 2 slot automatik ke saingan ACL musim 2024-2025.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Final Piala FA Serentak Dengan Konsert Dewa 19, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Pada 10 September

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Dihantar Ke FIFA Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS

RASMI: Selangor Umum Nidzam Jamil Sebagai Ketua Jurulatih Sementara

TRW Kelantan Jadikan Tuntutan Kes Fitnah Sebagai Sedekah

Piala FA 2022: JDT Mara Ke Final Selepas ‘Tibai’ Penang 6-1