Semalam peminat bola sepak tempatan meluahkan kebimbangan mereka terhadap kecederaan yang menimpa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid ketika perlawanan menentang UiTM FC dalam saingan Liga Super 2021.

Safawi dilihat mengerang kesakitan sambil memegang bahagian lututnya selepas bertembung dengan pemain UiTM pada minit ke 3 lalu diusung keluar oleh petugas perubatan. Tempatnya diganti oleh Arif Aiman yang beraksi cemerlang menjaringkan gol pertama JDT.

Situasi itu turut mengundang persoalan dalam kalangan peminat sama ada Safawi mengalami kecederaan serius yang menjadi mimpi ngeri setiap pemain bola sepak iaitu ACL atau Anterior Cruciate Ligament sehingga terpaksa berehat panjang.

Bagaimanapun, pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menerusi satu komen dalam laman instagram meminta peminat bola sepak tidak bimbang dengan kecederaan yang menimpa Safawi.

Menurut TMJ, Safawi bukan mengalami kecederaan ACL tetapi pasukannya yang akan beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) berentap dengan kelab gergasi Asia pada bulan Jun hingga Julai ini.

Safawi dijangka akan berehat selama 2 hingga 3 minggu untuk mendapatkan rawatan oleh pakar-pakar perubatan JDT.

“Jangan risau, Alhamdulillah bukan ACL. Kita hanya main di ACL. Itu sahaja, Terima kasih, 2-3 minggu Insya’Allah ok,” kata TMJ.

Untitled (1)

Perkembangan itu melegakan para peminat bola sepak tempatan kerana khidmat Safawi sangat diperlukan terutamanya oleh skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 di UAE.

Malaysia kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan G dan mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan slot automatik ke Piala Asia 2023 jika berjaya mengutip 3 mata dalam baki 3 perlawanan yang akan datang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

PJ City Buktikan Mampu Bersaing Dalam Liga Super Tanpa Pemain Import

Dollah Salleh: “Saya Tidak Berpuas Hati. Saya Belum Melatih Pasukan Lagi, Cuma Ambil Alih Untuk Perlawanan Ini.”

Aksi Hambar Di Petaling Jaya, Selangor FC, KL City Berkongsi Mata

MFL Kesal Tindakan Penyokong, Anggap Mampu Beri Kesan Buruk