DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, dalam satu kemaskini terbaru di laman sosial Facebook Johor Darul Ta’zim menyampaikan satu mesej kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai status Pahang FA dalam pertandingan peringkat AFC.

TMJ dalam kenyataan itu mahu FAM untuk menilai semula keputusan yang telah dibuat pada hujung tahun lalu, bagi membolehkan Pahang FA beraksi dalam saingan kelayakan 2 play-off AFC Champions League 2019 nanti.

Pahang FA selaku juara Piala FA 2018, layak menerima slot untuk beraksi dalam pusingan kelayakan 2 play-off AFC Champions League 2019 yang dijadualkan akan berlangsung sekitar pertengahan bulan Februari 2019.

Namun disebabkan penggantungan oleh FAM, Pahang FA telah tidak dibenarkan untuk memohon lesen kelab AFC dimana itu adalah kriteria utama bagi membolehkan sesebuah kelab itu beraksi dipentas tertinggi bola sepak kelab di Asia.

Jika FAM memberikan ‘pelepasan’ kepada Pahang FA untuk beraksi dalam peringkat AFC, ini bermakna slot untuk kelayakan 2 play-off AFC Champions League sudah penuh dan tiada lagi pasukan lain akan menerima slot selain dari juara unifi Liga Super 2018, yang akan layak secara automatik ke peringkat kumpulan.

Pahang FA akan bertemu pasukan dari Hong Kong, Kitchee SC di Stadium Darul Makmur, Kuantan sekiranya dibenarkan oleh FAM.