Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) sekali lagi menempelak beberapa kelab dalam saingan Liga Malaysia yang tidak mampu untuk mengelola padang namun berhasrat untuk mempunyai stadium sendiri.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, TMJ menegaskan ada kelab yang menyatakan mereka tidak mampu untuk mengelola padang walaupun hanya menelan kos RM200 Ribu setahun.

Beliau turut mahu melakukan forum terbuka dengan semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta Presiden kelab bagi memastikan penyokong dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.

TMJ
Sumber Gambar: TMJ

“RM200 Ribu setahun maintain padang pun tak boleh terima dan cakap tak mampu, macam mana nak ada stadium sendiri? Siapa nak maintain? Cakap dan nak but sesuatu tu biar bedasarkan fakta.

“Semua cakap dan memberi gambaran tak betul kepada penyokong. Itu pasal saya cakap berkali kali adakan open forum untuk penyokong dengan semua President dan CEO kelab.

“Bagi penyokong tanya apa saja soalan.
Sampai ke hari ni semua diam, takda yang berani. Penyokong sekarang boleh nilai sendiri kenapa semua takut? Apa yang nak disembunyikan? Nilai sendiri. Cakap memang senang, bila ajak berdepan takut. No transparency,” katanya.

TMJ kemudiannya menegaskan jumlah wang yang dibayar oleh kelabnya dalam tempoh setahun bagi menjaga Stadium Sultan Ibrahim.

Cost maintenance stadium JDT RM7 iuta setahun. Itu pun kami terkial kial nak bayar dan maintain. Kalau stadium lebih kecil kemungkinan 4 atau 5 juta setahun.

“Sekarang soalan saya, jikalau kos maintenance padang RM200 ribu lebih setahun pun dah merungut apatah lagi 5 juta. Dan jikalau stadium mempunyai teknologi canggih macam stadium baru yang di sebut sebut sebelum ini yang akan dibina, kos maintenance mencecah 30 atau 60 juta setahun? Kelab boleh bayar?

“Open forum dengan CEO dan Pemilik club dengan penyokong sangat diperlukan demi transparency untuk mengelakkan kaki temberang dan kaki kencing,” tambahnya.