Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini secara rasmi telah memperkenalkan pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE dari 3 hingga 15 Jun 2021.

Poses penukaran status pasukan negara Dion Cools dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama selepas Dion Cools sendiri telah menyatakan bahawa beliau berminat dan bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam turut mendedahkan pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) adalah individu yang memainkan peranan penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk menyarung jersi negara.

“Junjung kasih juga kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior.

“Biarpun telah mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21 negara berkenaan, Dion Cools masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan perlunya untuk mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan syarat beliau tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

“Syarat lain juga telah dipenuhi apabila beliau lahir di Malaysia dan ibunya juga merupakan warganegara Malaysia,” jelas Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan rasmi.

Walaupun Dion Cools pernah mewakili skuad kebangsaan Belgium bawah 21 tahun, Stuart menjelaskan pemain itu masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya selagi tidak beraksi dengan skuad senior Belgium di peringkat antarabangsa.

“Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Dion Cools bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM telah beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Belgium (RBFA) dan setelah FAM menerima bantuan FIFA, RBFA telah pun membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Dion Cools dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014 hingga 2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016 hingga 2019 bersama senarai perlawanan, selain mengesahkan bahawa Dion Cools tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

“FAM kemudiannya telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA.

“Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.

“Selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain Harimau Malaya,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

Tan Cheng Hoe Optimis Pemain Naturalisasi Mampu Beri Impak Positif

Tan Cheng Hoe Sahkan Semua Pemain Harimau Malaya Bebas Dari Kecederaan

Dua Kesilapan Mudah Menghampakan, Malaysia Tunduk Di Bahrain