Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan anggaran kos pemasangan rumput jenis Zeon Zoysia yang akan digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

Menurut TMJ, kos pemasangan tidak melebihi RM1 Juta atau lebih tepatnya sebanyak RM900 Ribu, bukan seperti yang tersebar di media sosial yang mengatakan kos rumput baharu menelan belanja sehingga RM10 Juta.

TMJ
Sumber Gambar: JST

“Awak bayangkan, sesiapa saja di sini yang memberitahu kos buat padang bola adalah RM7 juta hingga RM10 juta adalah penipu, cerita karut.

“Awak rasa berapa saya bagi dia? Tak sampai RM1 juta, RM900,000 lebih sahaja. Saya selamatkan duit rakyat dan duit kerajaan sekurang-kurangnya RM10 juta. Ini duit rakyat, bukan itu sahaja, penyelenggaraan hanya RM200,000 (lebih kurang) setahun.

“Saya tahu ramai orang agak sedih kerana dedahkan nilai ini. Ini duit rakyat, jangan main-main dengan duit rakyat,” katanya.

TMJ menaja pemasangan rumput baharu di Stadium Nasional dan menganggap perkara itu sebagai hadiah bagi memastikan rumah Harimau Malaya itu mempunyai padang yang berkualiti dan layak untuk mengadakan perlawanan bola sepak antarabangsa.

“Saya telah membuat keputusan untuk menaja kos penanaman rumput baharu sebagai hadiah kepada Stadium Nasional Bukit Jalil. Ianya adalah rumput jenis Zeon Zoysia, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT.

“Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia bagi memastikan Stadium Nasional tersebut mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa.

“Bagaimanapun, saya ingin meminta pihak berkuasa stadium untuk memastikan padang itu dijaga dengan rapi dan semua penggunaan bukan sukan hanya dilakukan jikalau langkah-langkah yang sesuai telah dilakukan bagi memastikan padang tersebut tidak rosak,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh TMJ.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

JDT Luaskan Kuasa Bersama Snoop Dogg

Kim Pan-Gon Tidak Mahu Terburu-Buru Hukum Pemain Tolak Panggilan Skuad Kebangsaan

Peminat Sambut Baik Kehadiran Zhafri Yahya Dalam Skuad Kebangsaan