Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) berkongsi rahsia pasukannya kekal konsisten dalam saingan liga domestik dan antarabangsa.

Dalam satu temu bual bersama HotFM dalam segmen Bekpes Hot, Tunku Ismail menegaskan beliau dan semua pihak di JDT tidak boleh penat sekiranya mahu mencapai kemenangan.

“Kita tak boleh penat kalau nak capai kemenangan. Saya punya motivasi ialah saya ketagih dengan kemenangan. Jadi kita nak buat lebih lagi.

“Macam contoh, kami mengekalkan rekod tanpa kalah sebanyak tiga kali. Kami juga telah menetapkan standard dari segi menjaringkan gol dan jumlah jaringan dibolosi. Setiap sasaran ini menjadi motivasi untuk kita capai,” kata TMJ.

Tunku Ismail turut menegaskan sasaran seterusnya ialah cuba memberi cabaran dalam saingan AFC Champions League (ACL) tahun ini.

“Ideanya ialah kita akan cuba memberi cabaran dalam saingan AFC Champions League tahun ini dan sejauh mana kita boleh bersaing dengan pasukan gergasi di Asia.

“Ini bukan satu perkara yang mudah. Meskipun kami dah menang banyak trofi, tetapi setiap rekod adalah bermakna kerana ianya satu pencapaian yang diraih oleh pasukan,” tambahnya.

TMJ
Sumber Gambar: JST

Dalam masa yang sama, TMJ berkongsi cara bagaimana beliau mengawal pemain di kelabnya yang terdiri daripada pemain berprofil tinggi.

Beliau menegaskan mempunyai cara tersendiri bagi memastikan pemain JDT sentiasa memberikan prestasi terbaik di atas padang dan tiada pemain yang bersikap diva dalam pasukan.

“Saya tegas dari segi prestasi pemain kerana mereka menerima gaji yang besar. Oleh itu, mereka harus sentiasa mengekalkan tahap profesionalisma mereka ketika menjalankan tugas.

“Saya seorang yang demand mengenai prestasi tetapi saya juga bermurah hati untuk menjaga kebajikan mereka. Kita akan mendapat perkara positif sekiranya kita tahu bagaimana kita nak menjaga orang yang bekerja untuk kita dan mereka tahu untuk membalas budi,” katanya.