Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) agak hairan bagaimana pembakaran suar boleh dilakukan di negara eropah seperti Liga Serie A tetapi tidak di Liga Malaysia.

Bercakap dalam temubual eksklusif bersama Astro Arena, TMJ berharap FAM dapat mengurangkan denda terhadap JDT ekoran pembakaran suar yang dilakukan oleh penyokong tegar, Boys Of Straits (BOS) di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini.

“Sudah tentu akan kena denda. Denda tersebut juga saya kira akan meningkat kerana sudah tiga kali penyokong saya membakar suar.

“Jadi itu saya kena tunggu FAM keluarkan denda tersebut menerusi Jawatankuasa Tatatertib. Saya harap mereka janganlah bagi harga yang mahal sangat untuk saya bayar.

“Tapi saya pun pernah mempersoalkan perkara ini kepada FAM kerana ketika saya tanya, mereka jelaskan bahawa FIFA tidak membenarkan pembakaran suar. Tetapi apabila saya tengok kejohanan-kejohanan di Eropah macam di Serie A, semua ada bakar suar.

“Saya akan tanya semula kerana saya nak maklumat penuh tentang perkara itu. Walau bagaimanapun, denda tu sudah tentu saya kena. Saya pun dah biasa kena denda, saya dah kena denda sejak tahun 2013. Jadi perkara ini normal,” jelas TMJ kepada wartawan Astro Arena, Zulhilmi Zainal Azam.

Aktiviti pembakaran suar selepas perlawanan sebenarnya telah melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

TMJ juga berharap FAM dapat tolak denda aktiviti pembakaran suar daripada hutang lama.

Untuk rekod, TMJ dikatakan pernah menyelesaikan hutang lapuk FAM dan saman MP Silva dengan jumlah keseluruhan RM13.4 juta ketika beliau menjadi Presiden badan induk itu dari 2017 hingga 2018.

“Saya tak tahu lagi. Mungkin mereka boleh tolak daripada duit-duit hutang lama ke. Tengok pada jasa Presiden FAM dan orang-orang besar yang berada dalam bolasepak tanah air di FAM,” katanya.