Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menegaskan pasukannya bakal tampil sebagai underdog bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut Tunku Ismail, beliau tidak akan melabur untuk mendapatkan pemain dan percaya dengan kemampuan pemain sedia ada terutamanya selepas menyapu bersih semua kejuaraan yang ditawarkan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Saya menganggap pada tahun 2023 ini, JDT adalah underdog kerana kami tidak melaburkan wang dan JDT bukanlah pasukan yang akan dicabar kerana kami lebih selesa untuk menjadi pasukan bukan pilihan,” kata TMJ dipetik dari laporan Flash Sukan.

Sebelum ini, TMJ turut melaungkan cabaran kepada mana-mana kelab di Malaysia untuk mencabar pencapaia yang telah dilakukan oleh kelabnya musim ini.

TMJ JDT
Sumber Gambar: Instagram TMJ

Pada awal musim, skuad Harimau Selatan berjaya memenangi Piala Sumbangsih apabila pasukan itu menewaskan Kuala Lumpur City dengan keputusan 3-0.

JDT memenangi Liga Super musim ini dengan perbezaan 12 mata di hadapan pasukan yang menghuni tempat kedua iaitu Terengganu dan 14 mata di hadapan pasukan tempat ketiga iaitu Sabah.

Seterusnya, skuad bimbingan Hector Bidoglio itu berjaya merangkul kejuaraan Piala FA dengan menewaskan Terengganu pada perlawanan akhir dengan keputusan 3-1.

Setelah menjuarai Piala Malaysia musim ini, JDT menjadi kelab pertama di Malaysia yang memenangi Quadruple, yang bermaksud memenangi empat piala dalam satu musim.

Skuad Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang beraksi di saingan Liga Premier turut muncul juara sekaligus menjadikan musim 2022 sebagai satu musim gemilang bagi kelab dari Selatan tanah air itu.

JDT menutup tirai musim 2022 dengan turun menentang kelab Jerman, Borussia Dortmund dalam satu aksi persahabatan antarabangsa namun skuad Harimau Selatan itu tewas dengan keputusan 4-1.