Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menyatakan pasukannya akan meminjamkan beberapa pemain senior ke pasukan lain pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, TMJ berkongsi perkara tersebut namun tidak menyebut secara spesifik pemain mana yang bakal dipinjamkan ke pasukan lain.

“Perubahan yang akan berlaku (musim hadapan), akan ada beberapa pemain senior yang akan dipinjamkan. Ada juga pemain senior yang dikekalkan demi kestabilan bilik persalinan.

“Pemain ini merupakan pemain yang mempunyai pengaruh. Mereka mempunyai ciri kepimpinan yang baik supaya boleh menjaga pemain muda kami,” kata TMJ.

Melihat kepada senarai pemain sedia ada, pemain senior seperti Adam Nor Azlin, S. Kunanlan, Hazwan Bakri, Akhyar Rashid, Azrir Nasrulhaq, Nazmi Faiz Mansor, Guilherme De Paula, Junior Eldstal dan Mohamadou Sumareh berkemungkinan besar menjadi pemain yang bakal dipinjamkan ke kelab lain.

Menurut TMJ, JDT bakal membawa masuk seorang penyerang dari Brazil dan pemain itu sudah 80 peratus bersetuju untuk menyertai pasukan musim hadapan.

Selain itu, juara Piala Malaysia 2022 itu bakal menandatangani dua pemain dari Sepanyol yang bakal mengisi posisi pemain tengah menyerang dan pertahanan kiri.

Sebagai tambahan, kelab itu tidak akan menandatangani terlalu ramai pemain tempatan dimana hanya ada seorang sahaja pemain tempatan yang akan menyertai pasukan musim hadapan.

JDT turut mengumumkan mereka melantik Esteban Solari sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

TMJ menegaskan Solari dilantik sebagai ketua jurulatih manakala pengendali sebelum ini, Hector Bidoglio dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal bagi menggantikan Alistair Edwards yang bakal menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab.

“Jurulatih ini menerima tawaran dari beberapa kelab seperti River Plate dan juga skuad remaja Argentina. Saya berjaya meyakinkan beliau untuk bersama kami bagi meneruskan projek kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim.

“Jurulatih itu ialah Esteban Solari, adik kepada Santiago Solari yang berada di Real Madrid. Beliau akan mengendalikan pasukan utama,” kata TMJ.