Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) akan terus mendapatkan pemain terbaik dalam negara bagi memperkuatkan Harimau Selatan dalam saingan Liga Malaysia.

Menurut kenyataan menerusi laman instagram story, TMJ menegaskan pemainnya hanya dilepaskan menyertai pasukan kebangsaan pada kejohanan yang berada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sahaja.

“Piala AFF ada yang tak berakal bising, agaknya dia lupa Malaysia layak ke Piala Asia pemain JDT yang berhempas pulas. Oleh demikian, saya macam kenyataan saya dahulu yang saya akan terus membunuh bola sepak Malaysia.

“Hari ini saya berjanji akan terus beli pemain pemain hebat dalam negara dan hanya lepaskan mereka untuk sertai pasukan kebangsaan dalam kalendar FIFA sahaja. Sekian terima kasih. Sekarang pergi memekak dan cuba buat sesuatu,” tulisnya.

Seramai 11 pemain JDT telah diketepikan daripada senarai pemain ke latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang bermula 29 November lepas.

Pemain dari JDT yang dimaksudkan ialah Shahrul Mohd Saad, La’vere Lawrence Corbin-Ong, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Matthew Davies, Muhammad Syafiq Ahmad, Mohd Afiq Fazail, Muhammad Syahmi Safari, Nathaniel Shio Hong Wan dan Natxo Insa.

Bagaimanapun, kelab tidak diwajibkan lepas pemain tersebut di luar jendela kalendar antarabangsa berdasarkan Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6.

Namun begitu, ketiadaan pemain tersebut tidak memberi masalah kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon kerana beliau masih mempunyai banyak lagi pilihan pemain berkualiti untuk membawa cabaran negara.