Konflik antara pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berterusan apabila Tunku Ismail mahu Sanusi untuk memberikan nama ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah itu sebelum ini.

Tunku Ismail berkata demikian menerusi laman media sosial Twitter miliknya dimana beliau mahu Sanusi agar menceritakan semua perkara yang beliau tahu dan memberikan fakta atas kenyataan yang dikeluarkan olehnya baru-baru ini.

“Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segala-galanya. Ini cakap main sembur badut McDonald pun boleh. Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Typical Politician,” kata TMJ.

Sebelum ini, Sanusi mendakwa ada pihak yang seolah-olah “mengawal” selain memberi bonus sekiranya pasukannya menang ke atas Kedah Darul Aman dan berkata beliau juga tahu segala cerita yang berlaku.

“Dia ‘order’ sana, ‘order’ sini, suruh buat ini, suruh buat itu, kawan (ada pihak) nak pergi latihan sana, kena tanya dia dulu, lepas itu dia round pusing pasukan lain, beri bonus kalau menang dengan Kedah, saya tahu semua itu, dia ingat orang tak tahu, jangan bagi saya cerita semua,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Muhammad Sanusi menyatakan beliau tidak mahu sebarang “tokong” dalam saingan liga bola sepak tanah air kerana bola sepak adalah untuk semua pihak.

“Bola sepak ini bukan untuk individu dan tak boleh ada ‘tokong’ dalam sukan ini sampai semua nak pergi sembah dia dulu. Jangan ada tokong dalam bola sepak sebab bola sepak ini sukan untuk semua orang.

“Sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis fair play tetapi ada “tokong”. Semua nak kena tanya dia dulu, ‘mampuih’ lagu (macam) tu, nak main macam mana,” katanya.

Bekas penyerang skuad kebangsaan, Hairuddin Omar menegur Sanusi dimana Hairuddin menyatakan menyamakan seseorang individu dengan Tokong adalah tidak wajar apatah lagi individu yang disamaian itu beragama Islam.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

XOX Pantas Mulakan Pembayaran Tunggakan Gaji Perak FC

Brendan Gan Bersemangat Tinggi Dapatkan Kembali Tahap Kecergasan

Hairuddin Omar: Tidak Wajar Samakan Individu Dengan Tokong