Setelah berjaya mendapatkan Daniel Ting yang secara rasminya diumumkan sebagai rekrut baharu semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus bernafsu untuk menambah kekuatan pasukan tersebut apabila dilaporkan bakal membawa masuk pemain pertahanan berpengalaman, Jordi Amat.

Bercakap dalam sesi khas bersama peminat JDT malam tadi, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendedahkan bahawa Jordi yang berpengalaman beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga akan bersama JDT pada musim ini.

Segalanya akan dimeterai kedua-dua belah pihak sebaik sahaja proses dokumentasi bagi mengesahkan taraf kerakyatannya sebagai Warga Negara Indonesia (WNI) selesai.

“Saya rasa dia akan jadi aset terbesar Indonesia kerana sudah bermain 100 lebih perlawanan di La Liga, 100 lebih perlawanan di English Premier League,” ujar TMJ bercakap dalam sesi tersebut.

“Itu adalah satu kerugian yang sangat besar [sekiranya Indonesia tidak memberikan pasport] iaitu Jordi Amat. Jordi Amat akan bermain dan akan menjadi pemain JDT.”

Jordi Amat bersama seorang lagi pemain yang sedang diusahakan untuk mendapatkan taraf kerakyatan Indonesia, Sandy Walsh. Kredit Foto: PSSI

“Saya tak boleh turunkan Mauricio [dos Santos Nascimento] kerana dia pemain import [slot bebas], saya dah ada tiga pemain slot tersebut dalam padang.”

“Jadi, Jordi Amat, neneknya dari Makassar. Memang betul ada darah Indonesia. Dia juga memang nak sangat bermain untuk negaranya, bersemangat untuk bermain bersama Indonesia.

“Perkara ini saya melihat sebagai peluang untuk JDT mendapatkan pemain asal dari Sepanyol yang begitu berpengalaman, berkualiti untuk bermain dalam pasukan kita,” tambah TMJ lagi.

Amat yang kini berusia 30 tahun sebelum ini pernah menyatakan keinginannya untuk beraksi di dalam kancah bola sepak Asia selepas merasai pengalaman hampir 12 tahun di Eropah.

Di Eropah, pemain pertahanan tengah itu pernah beraksi bersama Espanyol, Rayo Vallecano, Real Betis, Swansea City dan K.A.S Eupen dari Belgium.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

AFC Cup 2022: Ronald, Fayadh Cemerlang Bantu Kedah Atasi Kaya FC

Daniel Ting Kembali Ke Pangkuan Johor Darul Ta’zim

Supachok Sarachat: Saya Mahu Mencipta Impak Tersendiri