DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebentar tadi mendedahkan sumbangan yang telah dicurahkannya terhadap perkembangan bola sepak tanah air.

Menurut kenyataan menerusi ‘Instagram Story’ peribadinya, TMJ seakan-akan memberikan reaksi balas terhadap persoalan mengenai sumbangan baginda dan Johor Darul Ta’zim (JDT) terhadap perkembangan bola sepak tanah air serta pasukan kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, TMJ turut menyenaraikan 10 peranan penting dimainkannya dan JDT yang disifatkannya sebagai sikap patriotik terhadap negara.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh Tunku Ismail ialah JDT telah menyumbangkan 16 mata kepada ranking dalam kalangan AFC MA (Member Association). Keadaan itu telah memberikan lebih banyak slot kepada pasukan Liga Super untuk bertanding dalam kejohanan peringkat Asia.

Selain itu, pemain JDT telah membantu skuad kebangsaan mengutip 32.07 mata ranking FIFA( Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dimana berlaku perubahan daripada tangga ke-154 kepada 146 dunia.

Malah, JDT turut telah meminjamkan Pusat Latihan Padang Sri Gelam kepada skuad negara. Ia juga membolehkan kem negara mengadakan latihan serta perlawanan persahabatan di Stadium Larkin dan Pasir Gudang pada tahun 2021.

Sementara itu, TMJ juga memberikan tajaan sebanyak RM1.4 juta untuk penanaman rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan bermula pada Mac 2023.

Seperti diketahui, selepas insiden memalukan ekoran padang di Stadium Nasional Bukit Jalil ekoran hujan lebat pada Kelayakan Piala Asia 2023 tempoh hari, TMJ dan JDT telah meminjamkan kanvas stadium untuk menjad kualiti padang.

Kanvas JDT

Antara sumbangan lain yang dibangkitkan oleh TMJ ialah:

1) Memberikan sebuah bas rasmi untuk kegunaan pasukan kebangsaan pada tahun 2017.

2) Merombak dan mengecilkan saiz pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjaga aspek kewangan FAM.

3) Mengurangkan saman MP Silva terhadap FAm daripada RM6.5 juta kepada RM1.4 juta dan TMJ turut membayar RM1.4 juta menggunakan wang sendiri bagi menyelesaikan kes tersebut.

4) Membelanjakan RM12 juta duit sendiri untuk melapuskan hutang lapuk FAM dan menyuburkan program-program akar umbi FAM.

5) Menghantar jurulatih skuad kebangsaan ke Sepanyol untuk perkongsian profesional.

Dalam pada itu, TMJ turut meminta kepada peminat bola sepak tanah air untuk menamakan individu lain yang telah memberikan sumbangan lebih daripadanya dalam meningkatkan kualiti bola sepak negara.