Pemilik kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ), hari ini telah mengadakan perjumpaan dengan delegasi Selangor FC yang diketuai DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor (RMS).

Menurut kenyataan rasmi daripada Johor Southern Tigers (JST), tujuan perjumpaan ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara Johor dengan Selangor sambil berbincang mengenai pembangunan bola sepak.

“Kedua-dua kelab saling berkongsi idea berkaitan cara untuk menambah baik liga Malaysia, pembangunan belia dan bola sepak secara keseluruhan,” kata kenyataan rasmi.

Hubungan kedua-dua pasukan seperti sedia maklum agak ‘panas’ terutama apabila Tunku Ismail sering mengkritik pentadbiran kelab bola sepak Selangor.

Namun, perkongsian idea dengan pengurusan JDT mungkin menjadi titik tolak kepada Selangor untuk melakukan perubahan secara menyeluruh sekaligus kembali menjadi kuasa besar bola sepak negara.

Pertemuan dua anak raja itu turut mendapat reaksi positif dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan mungkin bakal menyaksikan persaingan yang lebih berkualiti dalam Liga Malaysia.

Transformasi yang dilakukan oleh TMJ jelas semakin menjadi ikutan oleh pasukan lain. Hasilnya JDT berjaya meraih pelbagai trofi sejak 2013 termasuk Piala AFC sekaligus mengharumkan nama negara di pentas Asia.

Kecemerlangan Harimau Selatan dalam saingan AFC Champions League (ACL) juga telah membantu meningkatkan mata ranking MA sehingga Malaysia dapat 2 slot automatik ke ACL serta 2 slot play-off ACL mulai musim 2024.

Selangor FC sendiri turut melakukan perubahan sejak dipimpin oleh RMS. Bermula dengan pertukaran barisan pengurusan, kelab tersebut kini mempunyai fasiliti padang latihan sendiri yang lengkap dengan bilik persalinan pemain serta pejabat jurulatih.