Baru-baru ini, pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengumumkan akan menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput lembu (cow grass) di padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

Hari ini TMJ melakukan lawatan rasmi ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan berbincang mengenai penajaan rumput jenis Zeon Zoysia kepada stadium itu dengan YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, Menteri Belia Dan Sukan.

“DYAM Tunku Ismail menawarkan untuk menaja beberapa peralatan penyelenggaraan padang selepas padang ditukar.

“Perbadanan Stadium Malaysia mengalu-alukan penajaan tersebut namun meminta kerja-kerja tersebut hanya dimulakan pada Januari 2023 berikutan stadium telah ditempah sepenuhnya dengan pelbagai acara sepanjang tahun 2022,” tulis kenyataan rasmi JST.

Nigel Taylor, Ketua Penyelia Padang Stadium Sultan Ibrahim milik JDT yang turut hadir akan melakukan pemeriksaan lebih teliti ke atas padang Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum memulakan kerja. Pihak berkuasa stadium Bukit Jalil juga akan melawat Stadium Sultan Ibrahim untuk mempelajari cara-cara menjaga padang tersebut pada masa akan datang.

Rumput jenis ‘cowgrass’ ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak. Ia juga menjadi masalah bila ‘sliding tackle’ dilakukan kerana rumput akan tercabut.

Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi antara 4 buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Haikal Sahar Berazam Ledak Lebih Banyak Gol Dalam Liga Malaysia

Zarif Irfan Mahu Pastikan Tok Gajah ‘Clean Sheet’ Jika Diberi Peluang Beraksi

Enggan Ambil Vaksin Punca Daniel Ting Tinggalkan KL City

Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam

Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium