Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mencabar mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia untuk mengatasi pencapaiam yang telah diraih pasukannya.

Baru-baru ini, JDT memenangi Piala Malaysia 2022 setelah menewaskan pasukan Selangor pada perlawanan akhir dengan keputusan 2-1 sekaligus meraih kejuaraan keempat musim ini.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, TMJ berkongsi gambar dan meletakkan caption pasukannya tidak tewas dalam semua kejohanan yang disertai dan kemudiannya mencabar mana-mana pasukan yang boleh mengatasi pencapaian tersebut.

TMJ JDT
Sumber Gambar: Instagram TMJ

Pada awal musim, skuad Harimau Selatan berjaya memenangi Piala Sumbangsih apabila pasukan itu menewaskan Kuala Lumpur City dengan keputusan 3-0.

JDT memenangi Liga Super musim ini dengan perbezaan 12 mata di hadapan pasukan yang menghuni tempat kedua iaitu Terengganu dan 14 mata di hadapan pasukan tempat ketiga iaitu Sabah.

Seterusnya, skuad bimbingan Hector Bidoglio itu berjaya merangkul kejuaraan Piala FA dengan menewaskan Terengganu pada perlawanan akhir dengan keputusan 3-1.

Setelah menjuarai Piala Malaysia musim ini, JDT menjadi kelab pertama di Malaysia yang memenangi Quadruple, yang bermaksud memenangi empat piala dalam satu musim.

Skuad Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang beraksi di saingan Liga Premier turut muncul juara sekaligus menjadikan musim 2022 sebagai satu musim gemilang bagi kelab dari Selatan tanah air itu.

Selepas ini, JDT akan turun menentang kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa.

Bidoglio menegaskan beliau akan menurunkan barisan terbaik pada aksi menentang Dortmund kerana ini merupakan salah satu peluang keemasan untuk turun berdepan dengan antara kelab terbaik di dunia.