Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) memberi bayangan bahawa pasukannya mungkin membawa masuk salah seorang pemain ternama dari Argentina iaitu Papu Gomez.

TMJ berkata demikian menerusi laman media sosial Twitter miliknya dimana baginda menyatakan beliau tidak pernah tahu pemain mana yang akan dibawa masuk namun perancangan untuk memantapkan pasukan menjelang saingan liga musim hadapan sudah dimulakan.

“Saya tak tahu. Mungkin Papu Gomez dari Sevilla. Perancangan sudah dilakukan untuk memantapkan pasukan menjelang musim hadapan. Kita lihat,” katanya.

TMJ turut berkongsi di laman Instagram Story miliknya yang menunjukkan beliau sedang meluangkan masa bersama Gomez dalam satu acara polo sekaligus memberi bayangan pemain berusia 34 tahun itu akan berseragam JDT pada musim hadapan.

Gomez beraksi bersama Sevilla sejak Januari 2021 dimana sebelum itu beliau beraksi selama enam musim bersama kelab Serie A iaitu Atalanta yang mana beliau turut dilantik sebagai ketua pasukan.

Pemain yang mempunyai 14 penampilan bersama skuad kebangsaan Argentina itu meminta untuk berpindah setelah bergaduh dengan pengurus pasukan, Gian Piero Gasperini ketika perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang FC Midtjylland.

Meskipun presiden kelab cuba untuk memperbaiki hubungan antara Gomez dan Gian Piero, namun pemain itu menegaskan hubungannya antara keduanya sudah tidak boleh diperbaiki dan beliau meminta untuk berpindah ke kelab lain.

JDT pernah dibarisi oleh pemain terbaik dari Argentina sebelum ini seperti Jorge Pereyra Diaz, Juan Martin Lucero, Luciano Figueroa dan ketika ini Fernando Forestieri yang mencipta gandingan mantap bersama Bergson.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

AFC Cadang Musim Baharu Liga Malaysia Ikut Kalendar Ogos-Mei

Fernando Rodríguez Sertai Kelab Liga 1 Indonesia

Haydee Agras Tinggalkan Johor Darul Ta’zim