Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin tidak menolak kemungkinan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) dilantik sebagai pengurus baharu skuad Harimau Malaya.

Perkara itu didedahkan oleh wartawan astro arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman twitternya ketika ditemu bual selepas selesai Majlis Kesyukuran Presiden FAM atas pemilihan sebagai Ahli Majlis FIFA 2023-2027 hari ini.

“TMJ pengurus skuad Harimau Malaya? kenapa tidak,” kata Hamidin.

Sumbangan TMJ kepada pasukan Harimau Malaya jelas cukup besar apabila baru-baru ini telah memperuntukkan peralatan kecergasan untuk meningkatkan kualiti skuad kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Piala Asia pada awal 2024.

Malah, TMJ juga sempat turun ke padang latihan di Wisma FAM pada 6 januari lepas untuk memberikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum skuad Harimau Malaya menghadapi perlawanan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric menentang Thailand.

Selain itu, TMJ dalam satu kenyataan di laman twitternya menawarkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai gelanggang sementara untuk kegunaan skuad Harimau Malaya.

SSI berpotensi jadi gelanggang sementara skuad Harimau Malaya ketika Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ditutup untuk kerja-kerja penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput lembu (cow grass) mulai bulan Mac.

Kos penanaman rumput baharu di SNBJ ditaja sepenuhnya oleh TMJ ketika diumumkan dalam lawatan rasmi ke venue berkenaan pada bulan Mac 2022.

SSI yang berkapasiti 40,000 dilihat sebagai lokasi sesuai untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa kerana mempunyai kemudahan berkelas dunia selain memiliki padang yang berkualiti.

Sikap sentiasa mengambil berat terhadap pasukan kebangsaan menunjukkan TMJ mahu melihat skuad Harimau Malaya tampil lebih garang di pentas antarabangsa.