Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) merayu para penyokong Harimau Selatan memenuhi Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi Liga Super menentang Sri Pahang pada malam esok.

Ia adalah perlawanan terakhir pada bulan ini sebelum liga direhatkan untuk memberi laluan kepada persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada bulan Jun nanti.

“Esok perlawanan terakhir selepas itu direhatkan untuk 1 bulan. Datang stadium beri sokongan. Tahun ini, semangat melawan pasukan luar biasa. Sejarah dan rekod sudah tercipta.

“Sokongan anda memberi setiap pemain semangat yang luar biasa,” tulis TMJ di ruang komen dalam laman instagram officialjohor.

TMJ turut mendedahkan beliau telah banyak berkorban masa dan wang untuk memajukan bola sepak Johor dan berharap agar para penyokong setia pasukan itu sentiasa hadir ke stadium dalam setiap perlawanan.

“Kesian saya ni. Berjuta-juta duit keluar, masa, pengorbanan, sejarah, pencapaian dan masih kena merayu untuk penyokong ke stadium.

“Apa apa pun terima kasih atas sokongan anda,” tambahnya.

JDT kini kekal berada di kedudukan teratas Liga Super dengan 15 mata selepas mengharungi 5 perlawanan. Mereka juga satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan hanya bolos satu gol sahaja setakat ini.

Seramai 14 orang pemain JDT telah dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula pada hari Khamis ini, 19 Mei 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Sabah Pasukan Pertama Tempah Tiket Ke Suku Akhir Piala FA 2022

Syihan Hazmi Nafi Baca Mantera Depan Pintu Gol

Lebih 22,000 Penyokong Telah Hadir Menyaksikan Perlawanan Derbi Selatan Di Stadium Paroi

Zhafri Yahya Akui Gol Lawan Penang Yang Tercantik Pernah Dihasilkan