Semalam, laman media sosial rasmi Selangor FA menjadi mangsa kecaman oleh para peminat bola sepak tempatan apabila memuat naik promosi jualan vape untuk para penyokong yang memiliki kad keahlian Red Giants.

Vape atau rokok elektronik adalah trend semasa dalam kalangan masyarakat. Namun, sebarang bentuk penajaan daripada syarikat vape, atau rokok dalamĀ  sukan telah dilarang oleh kerajaan Malaysia sejak dahulu.

Ini berikutan komitmen Malaysia dalam menyokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaksanakan undang-undang global kawalan tembakau melalui Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC).

Tinjauan di media sosial mendapati para peminat bola sepak tempatan meminta pengurusan Selangor FA mempertimbangkan semula penajaan daripada syarikat vape tersebut kerana ia tidak sesuai dengan sukan bola sepak yang merupakan aktiviti sihat.

Tindakan Selangor itu turut mendapat perhatian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyifatkan promosi vape oleh kelab bola sepak tempatan akan memberi pengaruh buruk kepada golongan muda yang kebanyakan peminat sukan bola sepak.

“Langkah FA Selangor mempromosikan produk rokok elektronik adalah satu tindakan yang sangat serius dan wajar diberi perhatian.

“Selaku kelab bola sepak profesional mewakili negeri Selangor, organisasi The Red Giants perlu memastikan rakan kerjasama mereka bebas dari pengaruh buruk kepada masyarakat, khususnya kepada golongan muda dan remaja.

“Tindakan melakukan kerjasama dan mempromosikan rokok elektronik bagaikan mengulangi kesilapan lampau apabila syarikat rokok dibenarkan untuk menaja pasukan bola sebelum diharamkan oleh KKM sebagai langkah untuk menghentikan promosi tembakau.

“Usah beri alasan keuntungan atau kepentingan ekonomi, kerana tanggung jawab sosial untuk pembangunan sahsiah dan kesihatan masyarakat wajar diberikan keutamaan,” kata kenyataan tersebut.

Pada pendapat penulis, usaha Selangor untuk mencari sumber pendapatan sampingan bagi menampung kos operasi pasukan sangat bagus cuma kesilapan mereka ialah mempromosi atau menjual produk yang dilarang oleh kerajaan.

Diharapkan selepas ini mereka menapis dan menilai semula semua bentuk penajaan atau produk yang mahu dipromosi supaya tidak memberi impak buruk kepada masyarkat sekaligus mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan pasukan Selangor melalui pautan dibawah.

Program ‘Local Giant’ Oleh Selangor FA Berjaya Tarik 45 Penaja SME Bernilai RM700,000 Bagi Musim 2020

Kisah UltraSel Menaja Pasukan Selangor FA Tarik Perhatian Media Sukan Terbesar Di Thailand

Selangor Terpaksa ‘Tumpang’ Beraksi Di Stadium UiTM Dalam Baki Saingan Liga Malaysia