Peminat bola sepak tempatan nampaknya tidak gembira dengan tindakan Malaysia Football League (MFL) meminda jadual perlawanan Liga Super yang membabitkan perlawanan ketujuh sehingga ke-10 musim ini untuk memberikan laluan kepada persiapan skuad senior kebangsaan dan skuad bawah 23 tahun (B-23) yang akan mengharungi kejohanan antarabangsa.

Ia bermakna saingan Liga Super akan direhatkan hampir dua bulan bermula pada bulan Mei 2022 sekaligus mencetuskan kurang rasa senang dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam, pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pengurusan skuad kebangsaan dan B-23 serta pihak pengurusan kelab-kelab berkaitan sebelum penetapan tarikh baharu kalendar pertandingan MFL yang tertakluk kepada tarikh perlawanan peringkat antarabangsa oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Jelas Stuart, sebanyak enam perlawanan Liga Super akan dipinda di mana ia adalah penyelarasan di antara FAM dan MFL berkaitan agenda pasukan kebangsaan B-23 yang bakal menyertai latihan pusat dan Sukan SEA 2022, Hanoi, Vietnam bermula 30 April 2022 sehingga 23 Mei 2022.

“Merujuk kepada perbincangan MFL dan FAM sebelum ini, pasukan senior kebangsaan dan skuad B-23 masing-masing akan menjalani latihan pusat bagi menghadapi kejohanan antarabangsa seperti pasukan kebangsaan akan menyertai latihan pusat bermula 19 Mei 2022 sehingga 29 Mei 2022.

“Sementara skuad B-23 akan menjalani latihan pusat sebagai persiapan kepada kejohanan Sukan SEA 2022 Hanoi, Vietnam bermula 30 April 2022 sehingga 11 Mei 2022 dan kejohanan Piala AFC B-23 Uzbekistan bermula 24 Mei 2022 sehingga 31 Mei 2022.

“Pindaan perlawanan Liga Super ini penting kerana ia berkaitan dengan agenda kebangsaan dan saya juga merakamkan penghargaan kepada setiap kelab yang memberi kerjasama bagi menyempurnakan pindaan ini dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sebelum ini, persiapan skuad bawah 23 tahun untuk menghadapi saingan Sukan SEA terjejas kerana hanya 5 orang sahaja yang melapor diri pada hari pertama sesi latihan. Ada beberapa pemain masih tidak dapat perlepasan dari kelab kerana kejohanan itu berlangsung di luar kalendar FIFA.

Langkah MFL meminda jadual tersebut turut mencetuskan kemarahan penyokong di media sosial. Ada diantara mereka mengalami kerugian kerana telah membayar tiket penerbangan dan hotel penginapan untuk menyaksikan perlawanan Liga Super yang membabitkan pasukan kesayangan masing-masing.

“SEA games memang luar dari jadual FIFA. FAM patut tahu perkara ini lebih awal dan maklumkan pada MFL agar dapat elak kejadian penundaan seperti ini. Ia pun tidak melibatkan ramai pemain Liga Super pun. Hanya perlawanan meilbatkan pasukan2 tertentu saja yang perlu ditundan,” komen salah seorang peminat, Uda Salleh di laman facebook MFL.

https://twitter.com/ariffhakimi/status/1517703945501949952?s=20&t=HLnSDstzFYo1lHrI1RWd8Q

https://twitter.com/norahafizah_/status/1517537627607474177?s=20&t=HLnSDstzFYo1lHrI1RWd8Q

Stuart juga memaklumkan pindaan keseluruhan perlawanan minggu ke-10 juga dirancang untuk memberi tambahan hari kepada kem latihan pusat pasukan Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon sebelum aksi penting Kelayakan Piala Asia 2023 pada bulan Mei dan Jun ini.

“Pindaan keseluruhan perlawanan minggu ke-10 Liga Super 2022 juga menjadi sebahagian dalam penyelarasan di antara FAM dan MFL.

“Kita mahu memberikan peluang kepada pasukan kebangsaan menjalani latihan pusat bermula 19 Mei 2022 bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium National Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 8 Jun 2022.

“MFL juga ingin memaklumkan bahawa pindaan jadual seterusnya mungkin terpaksa dilakukan dengan mengambil kira kelayakan ke peringkat seterusnya (pusingan kalah mati) oleh mana-mana kelab Liga Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC di dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Ultras Dan Kelab Penyokong Kedah Terima Dana Daripada KFA Beli Peralatan Muzik

Minyak Masak ALIF Diumumkan Sebagai Penaja Baharu Liga Malaysia 2022

Tiga Perlawanan Tanpa Kemenangan, Dollah Bakal Kembali Latih Sri Pahang?

Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan

Masih Gagal Selesaikan Tunggakan Gaji, Perak Dipotong Enam Mata Lagi

Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19