Lebih 30,000 penyokong Sabah dijangka membanjiri Stadium Likas pada hari esok untuk menyaksikan perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tiket dalam talian serta fizikal dilaporkan sudah habis dijual.

Difahamkan 3,000 tiket telah dijual secara fizikal bermula jam 10 pagi tadi namun ia dilaporkan sudah habis dijual dalam tempoh 1 jam sekaligus mengecewakan ribuan penyokong yang telah beratur sejak pukul 3 pagi.

Setiap penyokong cuma boleh membeli sebanyak 2 keping tiket sahaja dan Sabah FC turut mengumumkan skrin besar akan dipasang di padang sintetik (bersebelahan Stadium Likas) untuk mereka yang tidak berkesempatan memiliki tiket perlawanan.

Lebih menarik, pengurus pasukan Sabah, Marzuki Nasir bersama para pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Park Tae-Su dan Khairul Fahmi sempat turun padang memberikan air kepada para penyokong setia yang sedang beratur.

Namun begitu, timbul rasa kurang senang dalam kalangan penyokong Sabah kerana sistem penjualan tiket tidak begitu teratur kerana terdapat segelintir peminat yang bertindak memotong barisan sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Sabah kini berada di kedudukan kedua Liga Super dan hanya dipisahkan 1 mata dengan JDT yang masih mengungguli takhta liga setakat ini. Perlawanan diantara dua pasukan teratas ini dijangka berlangsung sengit apatah lagi mereka masih belum tewas dalam 5 perlawanan terakhir.

Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee berharap sokongan padu peminat bola sepak di Stadium Likas malam esok menjadi pembakar semangat kepada anak buahnya untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

“Kita tidak boleh terlalu memikirkan mengenai kemenangan. Apa yang penting adalah kekal fokus dan berdisiplin ketika kita bermain sepanjang perlawanan nanti.

“Kita tidak boleh terburu-buru, sebaliknya perlu menggandakan usaha jika ingin mencapai kejayaan atau sekurang-kurangnya untuk mendapatkan sebarang mata,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

MFL Terpaksa Rombak Jadual Perlawanan Liga Malaysia

Ifedayo ‘Tibai’ Selangor 2-0 Selepas Pulih Daripada Kecederaan Hamstring

Aksi Faisal Halim ‘Menganjing’ Penjaga Gol Sri Pahang Curi Tumpuan

MFL Kaji Cadangan Sepak Mula Liga Malaysia Pada Waktu Petang