Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin mengumumkan bahawa tiket bagi menyaksikan perlawanan kedua Kumpulan G, saingan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia menentang UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 10 September 2019 telah mula dijual secara online, hari ini.

Para penyokong Harimau Malaya sudah boleh membelinya sekarang di www.tickethotline.com.my dengan harga RM30 (Terbuka) dan RM50 (Grandstand), tidak termasuk caj pemprosesan sehingga jam 11.59 malam pada Isnin, 9 September 2019.

Kali ini, penjualan secara fizikal di kaunter tiket Stadium Nasional turut akan dibuka pada hari perlawanan (Selasa, 10 September 2019) bermula jam 2.00 petang dengan harga RM40 (Terbuka) dan RM60 (Grandstand), tanpa ada sebarang caj tambahan yang akan dikenakan.

tiket malaysia uae
Berikut adalah harga akhir bagi setiap kategori tiket termasuk caj pemprosesan.

Ia selepas mengambil kira apa yang berlaku ketika Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Malaysia lwn Jordan pada 30 Ogos lalu yang mana daripada sejumlah 12,767 tiket yang terjual, 5,082 tiket dibeli di kaunter tiket pada hari perlawanan.

Justeru atas permintaan penyokong yang tidak semuanya dapat membeli tiket secara online, FAM telah membuat keputusan untuk mengumumkan pilihan pembelian secara online dan di kaunter bagi perlawanan menentang UAE ini.

Namun selaras dengan usaha FAM untuk menuju ke arah pelaksanaan jualan tiket secara online seratus peratus, penyokong digalakkan untuk membelinya secara online yang mana untuk perlawanan ini, harga tiket yang dijual secara online adalah lebih murah berbanding jika ia dibeli di kaunter stadium pada hari perlawanan.

ultrasmalaya

Bagaimanapun bagi tiket kanak-kanak yang sebelum ini berharga RM5, ia ditetapkan pada harga RM7 bagi perlawanan menentang UAE ini, tidak kiralah sama ada ia dibeli secara online atau di kaunter tiket pada hari perlawanan.

Ini bermakna, tiket kanak-kanak yang dibeli secara online tidak akan dikenakan sebarang caj pemprosesan yang sebelum ini dianggap terlalu tinggi oleh sesetengah pihak.

Diharap penetapan kaedah harga tiket dan opsyen pembelian pada kali ini dapat memberi pilihan kepada para penyokong Harimau Malaya, sama ada mahu membelinya secara online atau di kaunter tiket pada hari perlawanan, kedua-duanya dengan matlamat yang sama iaitu untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.

Khalid Jamlus Mahu Shahrel Fikri Lupakan Seketika Masalah Perak, Tumpu Pada Harimau Malaya

Sistem Tiket Dengan Tempat Duduk Bernombor Mula Digunakan Dalam Perlawanan Malaysia Bertemu Jordan

Tiket Perlawanan Malaysia Bertemu Jordan Dikenakan Caj Sehingga 85.4% Lebih Tinggi Dari Harga Asal