Lebih 2000 penyokong dijangka akan memenuhi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini apabila tiket perlawanan Liga Super diantara Kuala Lumpur City (KL City) menentang JDT disahkan habis dijual dan sudah mencapai had limit yang ditetapkan.

Perlawanan itu merupakan antara perlawanan yang menjadi tumpuan para penyokong bola sepak tempatan setelah rekod tanpa kalah JDT lebur kepada Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim minggu lepas.

Difahamkan, ratusan penyokong JDT yang tinggal di sekitar lembah klang turut akan hadir untuk memberi sokongan padu bagi mengelakkan pasukan kesayangan mereka mengalami kekalahan kedua pada musim ini.

Bagi peminat yang tidak berjaya mendapat tiket perlawanan itu, mereka masih boleh menonton secara dalam talian melalui laman web YouTube Unifi TV, aplikasi Unifi PlayTV dan saluran 701,702 Unifi TV.

Namun begitu, setiap penyokong yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pengendali KL City, Bojan Hodak yang pernah membimbing JDT pada musim 2014 sudah mempunyai perancangan sendiri untuk mendapatkan keputusan positif bagi memperbaiki kedudukan liga.

“Kalau ikutkan pemain JDT dulu dan sekarang tak sama, banyak perbezaan. Barisan pemain JDT adalah yang terbaik di negara ini dan kami akan lalui satu perlawanan yang sukar.

“Tetapi saya sudah ada perancangan tersendiri bagaimana untuk meraih keputusan positif. Saya harap pemain sedia dan akan beri komitmen dalam aksi itu nanti,” katanya.

KL City kini berada di tangga ketujuh liga dengan 12 mata daripada 10 aksi, manakala JDT masih kekal memimpin carta liga dengan 23 mata.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Penang Dapat Saguhati RM10,000 Jika Menang Dalam Setiap Perlawanan

CEO Sri Pahang Sahkan Pasukan Bakal Lakukan Perubahan Pemain Import

Aidil Tak Mahu Anak Buah Tersilap Langkah, Waspada Ancaman Melaka