Lebih 40,000 penyokong Terengganu bakal membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada hari Sabtu ini untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor apabila jualan tiket dalam talian (Online) dilaporkan sudah habis dijual.

Penjualan tiket tersebut telah dibuka sejak 29 Julai 2022 melalui laman web tickethotline.com dan pembelian melalui aplikasi Terengganu FC. Walaupun harga tiket dewasa mencecah RM20 namun ia tetap mendapat sambutan yang hangat daripada penyokong setia skuad penyu.

Situasi itu memaksa pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) menjual 12,000 lagi tiket secara fizikal di kaunter stadium pada hari perlawanan (6 Ogos). Menurut kenyataan rasmi, penjualan tiket ini adalah merangkumi 10,000 tiket dewasa dan 2,000 tiket kanak-kanak.

“Bagi memastikan kapasiti tempat duduk stadium dapat memuatkan kesemua penyokong yang membeli tiket, kanak-kanak berusia atas dari 2 tahun diwajibkan masuk bertiket.
Untuk maklumat, kesemua tiket atas talian (online) telah habis terjual pada hari kedua penjualan,” tulis kenyataan rasmi TFC.

Pertembungan separuh akhir kedua Piala FA ini dijangka berlangsung sengit apatah lagi kedua-dua pasukan turut memburu tiket beraksi di Piala AFC musim depan jika berjaya muncul sebagai juara.

Susulan kejayaan Terengganu  dan Selangor melangkah ke separuh akhir Piala FA, perlawanan Liga Super 2022 melibatkan dua pasukan berkenaan pada 4 Ogos 2022 terpaksa dipinda.

Berdasarkan tarikh baharu yang ditetapkan, Terengganu bakal bertemu Sri Pahang di Stadium Darul Makmur pada 21 Ogos 2022 manakala Selangor akan menjadi tuan rumah kepada PJ City  di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga pada tarikh yang sama.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Tarik Perhatian Media Antarabangsa

Liga Super 2022: Berpesta Jaringan Di SSI, JDT ‘Pukau’ KL City

Liga Super 2022: Amri Yahyah Wira Kebangkitan Sabah Atasi Melaka

Sinar Baharu Buat Respect FC, Syarikat Konglomerat Antarabangsa Ambil Alih Pasukan